KOTA KINABALU - Ratusan anak muda Sabah berpotensi kehilangan atau terpaksa menangguhkan peluang mengikuti latihan kemahiran tahun ini susulan kesukaran beberapa institusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapatkan kuota pembiayaan bagi Suku Keempat (Q4) 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook berkata, beliau menerima beberapa aduan daripada institusi latihan TVET di Sabah serta pihak berkaitan mengenai kesukaran mendapatkan kuota latihan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi tempoh berkenaan.
Menurutnya, terdapat pusat latihan di Sabah yang telah memperoleh Malaysia TVET Rating 2026 pada Ogos lalu, namun surat kelulusan menetapkan penarafan berkenaan hanya berkuat kuasa mulai Januari 2027.
"Program latihan TVET di institusi TVET lazimnya akan bermula pada bulan September atau Oktober," katanya dalam kenyataan.
Yun Fook berkata, keadaan itu menyebabkan kuota PTPK bagi Q4 2026 amat penting kepada institusi latihan TVET di Sabah, khususnya bagi membolehkan anak muda yang telah bersedia memulakan latihan pada tahun ini mendapat peluang berkenaan.
Katanya, jika institusi terbabit gagal memperoleh kuota pada masanya akibat isu penyelarasan antara tarikh memperoleh penarafan dengan tarikh kuat kuasanya, pelajar yang mahu mengikuti latihan kemahiran akhirnya akan menerima kesan.
"Siapa yang akhirnya terkesan? Anak-anak muda Sabah.
"Jika setiap institusi mempunyai kira-kira 25 pelatih yang terjejas, jumlahnya berpotensi melibatkan ratusan anak muda Sabah yang mungkin kehilangan atau terpaksa menangguhkan peluang mengikuti latihan kemahiran pada tahun ini," katanya.
Sehubungan itu, Yun Fook menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan bersama PTPK mempertimbangkan pemberian Kuota Peralihan (Transitional Quota) Q4 2026 kepada pusat latihan TVET di Sabah yang telah memperoleh Malaysia TVET Rating 2026 tetapi penarafannya hanya berkuat kuasa Januari 2027.
Jelasnya, cadangan itu bukan bertujuan meminta kerajaan menghapuskan syarat sedia ada atau melonggarkan sistem secara kekal, sebaliknya sebagai penyelesaian sementara terhadap jurang antara tarikh penarafan diperoleh dengan tarikh kuat kuasanya.
"Sebaliknya, ia adalah satu mekanisme sementara, terhad dan bersyarat bagi mengatasi masalah jurang antara tarikh penarafan dengan tarikh kuat kuasa.
"Institusi yang diberikan kuota peralihan juga boleh terus tertakluk kepada syarat PTPK, termasuk aspek kebolehpasaran graduan, penempatan pekerjaan serta komitmen berkaitan latihan dan pembiayaan," katanya.
Yun Fook berkata, kerajaan perlu melihat perkara itu dalam konteks lebih besar terutama membabitkan peluang anak muda Sabah dalam bidang TVET yang menurutnya masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
Menurutnya, komitmen kerajaan untuk memperkasakan TVET perlu disertai sistem sokongan yang fleksibel dan responsif supaya masalah penyelarasan pentadbiran tidak menyebabkan pelajar terpaksa menunggu atau kehilangan peluang latihan serta bantuan pembiayaan.
"Jika kita benar-benar mahu meningkatkan penyertaan TVET, maka sistem sokongan juga perlu cukup fleksibel dan responsif supaya pelajar mendapat peluang, latihan dan bantuan yang diperlukan pada masa yang tepat.
"TVET bukan sekadar mengenai institusi latihan. TVET adalah mengenai masa depan anak-anak muda kita," katanya.
Beliau berharap Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PTPK dapat meneliti perkara itu dengan segera serta mencari penyelesaian yang adil, munasabah dan khusus bagi menangani situasi peralihan berkenaan.
Sementara itu, Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerenah birokrasi dalam pengurusan pembiayaan latihan kemahiran dikhuatiri menjejaskan minat golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk daripada kelompok B40 dan miskin tegar untuk mengikuti TVET.
Pengasas Persekutuan Pusat-pusat Latihan Kemahiran Swasta Malaysia (FeMAC), Nordin Abdul Malek dilaporkan berkata, isu pembiayaan bukan sahaja membabitkan keperluan meningkatkan jumlah dana, malah pengurusannya perlu diperkemas bagi mengurangkan kerenah birokrasi.