SEPANG - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini caj yang dikenakan ialah RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2.
Menurut Malaysia Airports, penyeragaman itu bertujuan memudahkan penumpang serta pengendali e-panggilan, selain melancarkan pengambilan penumpang di kedua-dua terminal.
Sementara itu, kemudahan e-panggilan yang ditambah baik di Terminal 1 pada Ogos 2026 telah merekodkan peningkatan memberangsangkan dalam prestasi operasi.
"Dalam tempoh hanya sebulan pelaksanaan, sebanyak 99.3 peratus pemandu e-panggilan kini menyelesaikan pengambilan penumpang dan keluar dalam tempoh tangguh yang ditetapkan, iaitu 10 minit, berbanding 49.4 peratus sebelum ini.
"Jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan penumpang berkurangan 13.5 peratus, daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Ini mencerminkan kawalan operasi e-panggilan yang lebih baik, dengan pengurangan aktiviti tanpa kebenaran, pergerakan kenderaan yang tidak perlu dan tempoh kenderaan berhenti tanpa tujuan yang lama.
Sistem yang ditambah baik itu turut meningkatkan kapasiti pemprosesan pada waktu puncak daripada 302 kepada 660 kenderaan sejam, sekali gus membolehkan penggiliran kenderaan yang lebih pantas dan operasi pengambilan penumpang lebih lancar.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA Abd Hasman Abd Muhimin berkata penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan e-panggilan di KLIA, mencerminkan komitmen pengendali lapangan terbang untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar, di samping memastikan operasi kekal teratur, cekap dan responsif.
"Di KLIA, setiap aspek perjalanan penumpang penting, termasuk pengalaman perjalanan pergi dan balik dari lapangan terbang.
"Dengan menyediakan ruang dalaman yang selesa untuk penumpang menunggu serta memberikan masa yang sesuai kepada pemandu, kami melihat pematuhan yang lebih baik, pergerakan kenderaan lebih pantas dan aliran trafik lebih lancar," katanya.
Kemudahan yang dinaik taraf di Terminal 1 merangkumi sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) yang diintegrasikan dengan Skrin Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), kiosk layan diri, kawasan menunggu dan pengambilan penumpang, serta petugas lapangan.
Penambahbaikan sistem e-panggilan itu turut membolehkan pemantauan dan kawalan akses yang lebih ketat bagi memastikan hanya kenderaan e-panggilan yang dibenarkan menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang ditetapkan.
Kenderaan e-panggilan akan terus diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang untuk melancarkan pergerakan trafik, memastikan petak pengambilan penumpang sentiasa tersedia dan melancarkan proses pengambilan penumpang. - Bernama