TELUK INTAN - Selama lebih empat dekad, seorang warga emas di Taman Cicely di sini tidak pernah jemu menyemarakkan semangat patriotik apabila menghias kediamannya dengan ratusan Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Pemilik kediaman, Taraq Naemzia Abdul Ghani, 70, berkata, usaha itu telah bermula sejak kira-kira 40 tahun lalu dan dilakukan secara berperingkat dengan mengumpul pelbagai bahan berkaitan kemerdekaan.
Menurutnya, kos bukan keutamaan sebaliknya kepuasan melihat bendera berkibar dan orang ramai menghargai simbol negara menjadi dorongan utama.
"Mula-mula saya buat kecil-kecil. Dah 40 tahun saya buat, sikit demi sikit sampai jadi besar macam ini. Banyak bahan saya simpan dan ada yang saya tambah baharu setiap tahun," katanya.
"Bila nampak bendera berkibar, saya lebih seronok. Saya harap anak-anak muda juga hias rumah, kibarkan bendera dan hormati Jalur Gemilang ikut tatatertib yang ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Beliau berkata, proses menghias rumah biasanya bermula sekitar 16 Ogos dan siap sepenuhnya menjelang akhir bulan sebelum dikekalkan sehingga sambutan Hari Malaysia.
Baginya, idea menghias kediaman bukan sekadar mempamerkan bendera tetapi turut memasukkan elemen sejarah termasuk koleksi logo kemerdekaan dari dahulu hingga kini.
"Ada lori antik yang saya pamerkan, unik dan ada nilai sejarah. Bila orang datang, mereka boleh lihat dan kenal sejarah, bukan sekadar tengok bendera sahaja," katanya.
Taraq Naemzia yang aktif dalam komuniti dan berpengalaman hampir 30 tahun sebagai Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Intan berkata, kemerdekaan membawa makna kebebasan yang disertai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang serta saling menghormati antara satu sama lain.
"Makna merdeka adalah bebas, tetapi kita tetap ikut peraturan dan tatasusila. Hari Malaysia juga membawa semangat yang sama untuk kita hidup harmoni," katanya.
Terdahulu, kediamannya menerima kunjungan 150 murid Tabika Perpaduan bersama ibu bapa sempena Program Perarakan Bulan Kebangsaan di sekitar Teluk Intan.
Konvoi perarakan itu turut mengunjungi beberapa lokasi tumpuan di bandar tersebut seperti Dataran Menara Condong, Perpustakaan Awam dan Taman Rekreasi.
Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Hilir Perak, Muhammad Syahmi Sazali, berkata program konvoi dan perarakan yang diadakan bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak sejak usia awal.
Beliau berkata, program melibatkan tiga Tabika Perpaduan bersama tiga KRT itu memberi pendedahan tentang maksud sebenar Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia termasuk pengenalan kepada Jalur Gemilang.