SHAH ALAM - Keadaan di Makkah dilaporkan baik dan aktiviti ibadah jemaah umrah masih berjalan seperti biasa susulan dakwaan berlaku serangan udara di kawasan berkenaan.
Pendakwah bebas, PU Rahmat atau nama penuhnya, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan memaklumkan, Kementerian Pertahanan Arab Saudi telah mengesahkan pihaknya berjaya memintas dan mematahkan serangan udara tersebut.
Menurutnya, serangan udara sememangnya berlaku, namun jenis serangan sama ada menggunakan dron, peluru berpandu atau rudal masih belum dapat dipastikan.
"Kerajaan Saudi, Kementerian Pertahanan minta jika kita bertemu dengan sisa ataupun hasil daripada pertempuran di antara kerajaan Saudi dan juga serangan luar, maka jangan disentuh perkara itu," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini pertahanan udara Arab Saudi dilapor telah memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi berhampiran Makkah.
Jurucakap pakatan itu, Turki al-Malki berkata, dron berkenaan dipintas kira-kira 6.50 petang waktu tempatan pada Selasa sebelum sempat memasuki ruang udara larangan dengan serpihannya jatuh di selatan bandar itu.
Dalam pada itu, PU Rahmat memaklumkan jemaah umrah masih menjalankan ibadah seperti biasa.
"Kalau boleh tengok, lihat sekarang semua jemaah umrah masih lagi melakukan umrah, masih lagi melakukan ibadah.
"Apapun, semua baik-baik. Ibadah masih berjalan lancar, Alhamdulillah," ujarnya.