GEORGE TOWN- Kedudukan UMNO dalam Kerajaan Pulau Pinang dipersoalkan susulan dakwaan parti itu semakin aktif bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pas dalam pentadbiran negeri.
Keadaan itu didakwa menunjukkan UMNO tidak lagi mempunyai nilai untuk terus berada dalam kerajaan negeri selain boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, fokus Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengkritiknya berbanding menyelar serangan UMNO terhadap PH memberi gambaran bahawa kepimpinan PH negeri bimbang sekiranya UMNO meninggalkan kerajaan negeri.
Menurutnya, kenyataan beliau sebelum ini bukan ditujukan kepada Kon Yeow sebaliknya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak mencabar PH Pulau Pinang untuk menyingkirkan UMNO daripada kerajaan negeri seperti yang dilakukannya di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Daripada membalas serangan UMNO kerana bekerjasama dengan pembangkang PN, Kon Yeow sebaliknya memilih untuk mengkritik saya.
“Pemimpin PH Pulau Pinang tidak seharusnya takut untuk menyinggung UMNO yang melakukan serangan memecahbelahkan terhadap minoriti agama bukan Islam serta tidak inklusif terhadap bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Kon Yeow menyifatkan gesaan Guan Eng supaya Kerajaan Pulau Pinang menutup pintu kepada UMNO adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti DAP.
Kon Yeow berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan PH perlu diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi PH.
Kon Yeow menambah, beliau mengambil maklum pandangan Guan Eng itu namun semua pihak perlu menunggu keputusan pimpinan tertinggi, termasuk keputusan Majlis Presiden PH.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, persepsi awam juga penting dalam politik dan pemimpin PH Pulau Pinang perlu menyedari bahawa tiada lagi nilai untuk UMNO kekal dalam kerajaan negeri jika parti itu pada masa sama boleh bekerjasama dengan PN dan Pas daripada dalam.
Menurutnya, mengekalkan UMNO dalam pentadbiran negeri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan PH dan kerajaan negeri kerana gagal mengenal pasti apa yang didakwanya sebagai ‘musuh dari dalam’.
“Harga untuk mengekalkan UMNO ialah persepsi negatif terhadap kepimpinan PH Pulau Pinang dan kerajaan negeri kerana gagal menyedari bahawa ‘musuh terbesar ialah musuh dari dalam’,” katanya.
Guan Eng berkata, UMNO sebelum ini turut mengambil kredit atas kekalahan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenaah pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurutnya, tiada salah bagi pemimpin DAP untuk menjawab dakwaan yang disifatkannya tidak berasas terhadap PH atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kon Yeow mungkin tidak mahu pemimpin DAP menyuarakan pandangan mereka tetapi tiada arahan larangan bersuara daripada Anthony,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu nenambah, keputusan sama ada UMNO perlu kekal atau tidak dalam Kerajaan Pulau Pinang akhirnya terletak pada kepimpinan tertinggi DAP dan PH.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin PH negeri perlu mengambil pendirian mengenai isu berkenaan dan menyampaikannya kepada kepimpinan tertinggi.
“Adakah PH atau Kon Yeow tidak mempunyai pendirian tegas selepas segala serangan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini?” soalnya.
Guan Eng turut mendakwa UMNO masih mengekalkan jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dua pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri kerana menyedari pemergian parti itu tidak akan memberi kesan politik besar terhadap pentadbiran PH.
Katanya, tanpa dua wakil rakyat UMNO, Kerajaan Pulau Pinang masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam DUN.
“UMNO berpaut pada jawatan dalam kerajaan negeri kerana mengetahui mereka tidak akan memberi kesan politik sekiranya meninggalkan kerajaan.
“Tanpa dua wakil rakyat UMNO, kerajaan PH Pulau Pinang akan terus menikmati majoriti dua pertiga dalam DUN,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng mencabar Ahmad Zahid supaya berani mencadangkan supaya UMNO disingkirkan daripada Kerajaan Pulau Pinang susulan cabaran beliau kepada PH untuk menyingkirkan parti itu daripada kerajaan Persekutuan.
Guan Eng berkata, Ahmad Zahid secara terbuka mencabar kerajaan gabungan pimpinan PH untuk menyingkirkan UMNO daripada kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir beberapa hari lalu.