ALOR SETAR - Pas dan UMNO Kedah belum membincangkan isu pembahagian kerusi atau sebarang bentuk kerjasama rasmi dalam pertemuan membabitkan kepimpinan kedua-dua parti itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pertemuan tersebut masih pada peringkat awal dan lebih menjurus kepada usaha membina suasana harmoni sebelum rundingan politik yang lebih serius dilakukan.
Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, setakat ini, masih terlalu awal untuk membincangkan agihan kerusi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
"Apabila di peringkat pusat ada keputusan tertentu berhubung kerjasama dua parti ini, kita akan adakan pertemuan semula,” katanya selepas menerima kunjungan pemimpin UMNO di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon pada petang Selasa.
Kunjungan itu dihadiri dua mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengarah War Room BN Kedah, Datuk Othman Aziz dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man.
Wakil Pas pula disertai Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Setiausaha Pas Kedah, Musoddaq Ahmad.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas memaklumkan, sebarang bentuk kerjasama antara kedua-duanya perlu diputuskan di peringkat pusat, manakala kepimpinan negeri akur dengan keputusan yang dibuat.
“Saya berterima kasih kepada semua otai-otai UMNO yang berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar. Kami sembang, berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir menyifatkan pertemuan tersebut sebagai mukadimah membuka ruang perbincangan lebih lanjut antara kedua-dua parti.
“Kita bertukar pandangan berkaitan dengan negeri, politik negeri dan bagaimana antara dua parti Melayu yang ada di Kedah ini untuk jalin kerjasama.
“Saya sifatkan ia pertemuan yang baik, positif dan masing-masing lontarkan pandangan masing-masing dalam suasana harmoni,” katanya.
Beliau turut mengesahkan tiada perkara khusus termasuk pembahagian kerusi dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Belum sampai ke tahap itu lagi (berkaitan kerusi). Tidak bincang secara khusus tentang apa-apa, tiada isu terperinci. Semua itu peringkat seterusnya, kemudian,” katanya.