PUTRAJAYA - Isu pembangunan dan tadbir urus merupakan antara cabaran terbesar terhadap perpaduan negara, berbanding konflik berkaitan kaum dan agama yang sering dianggap sebagai batu penghalang utama.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara seperti rasuah, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar serta kekurangan kemudahan awam di sesetengah negeri menjadi antara isu yang mencetuskan maklum balas negatif daripada rakyat.
Katanya, persepsi bahawa perbezaan kaum dan agama merupakan punca utama masalah perpaduan perlu dilihat semula kerana isu berkenaan sebenarnya boleh diselesaikan.
“Yang menjadi isu ialah pembangunan dan tadbir urus seperti rasuah, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar serta kemudahan awam yang tidak mencukupi di sesetengah negeri,” katanya dalam wawancara sempena Hari Malaysia.
Aaron berkata, walaupun perpaduan negara menunjukkan perkembangan positif, kekuatan itu tidak boleh dipandang ringan.
Skor Indeks Perpaduan Nasional terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 0.701 pada tahun lalu berbanding 0.629 pada 2022 dan 0.567 pada 2018.
“Ini menunjukkan perpaduan nasional terus mengukuh, walaupun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan perhatian.
“Asas kita kekal kukuh, tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kekuatan tersebut,” jelas beliau.
Menurutnya, pendekatan KPN di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) juga akan beralih daripada sekadar mengurus konflik kepada usaha membina negara bangsa.
Katanya, fokus berkenaan termasuk memperkukuh identiti bersama rakyat Malaysia, memperdalam pemahaman dan penghayatan Rukun Negara, mewujudkan lebih banyak ruang untuk interaksi bermakna antara komuniti serta membina rasa kekitaan yang lebih kukuh terhadap negara.
Ujar Aaron, perpaduan juga tidak seharusnya hanya dipertahankan apabila berlaku krisis, sebaliknya perlu dibina setiap hari.
“Teknologi akan terus berubah. Perbezaan politik akan terus berlaku dan isu sensitif juga akan muncul dari semasa ke semasa.
“Kita tidak boleh menghapuskan setiap perbezaan dalam masyarakat demokratik dan pelbagai. Apa yang boleh kita lakukan ialah membina masyarakat yang cukup berdaya tahan supaya perbezaan pendapat tidak secara automatik bertukar menjadi perpecahan,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron memaklumkan, kepelbagaian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada lebih 300 kumpulan etnik dan subetnik merupakan kekuatan yang perlu dipelihara.
Katanya, perpaduan tidak bermaksud semua rakyat perlu meninggalkan identiti etnik, bahasa, agama, adat atau warisan budaya masing-masing untuk menjadi lebih Malaysia.
Sebaliknya, katanya, identiti nasional akan menjadi lebih kaya apabila kepelbagaian itu difahami, dihormati dan diraikan dalam kerangka bersama. - The Star