THAILAND begitu sinonim dengan ajaran Buddha Theravada dengan ribuan wat atau kuil Buddha terdapat di seluruh negara yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakatnya.
Dalam tradisi tersebut, sami Buddha (bhikkhu) dihormati sebagai golongan yang mengamalkan kehidupan berdisiplin, sederhana dan berpegang teguh pada ajaran agama. Kedudukan mereka turut menjadikan golongan itu antara kelompok yang paling disegani dan berpengaruh.
Namun, di sebalik imej suci dan kehidupan yang berteraskan nilai spiritual, institusi Buddha di negara Gajah Putih itu tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi.
Sejumlah sami Buddha menjadi perhatian selepas terpalit dengan pelbagai kes salah laku yang bukan sahaja menggoncang institusi keagamaan malah turut menghakis kepercayaan masyarakat.
Antara isu yang didedahkan termasuk skandal seks, pemerasan, penyelewengan dana kuil dan penyalahgunaan kuasa.
Pembongkaran kes itu menimbulkan kebimbangan apabila golongan yang sepatutnya menjadi contoh dalam soal moral, disiplin dan kehidupan beragama turut terjebak dengan pelbagai bentuk salah laku.
Lebih mengejutkan, dakwaan hubungan sulit dalam kalangan sami turut menimbulkan persoalan mengenai kawalan diri yang menjadi asas kehidupan mereka.
Kes sedemikian akhirnya bukan sahaja menjejaskan imej individu terbabit malah turut menggugat rasa hormat masyarakat terhadap golongan sami. Bak kata pepatah, 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.
Apabila berlaku salah laku memalukan sedemikian, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa status sebagai seorang sami tidak semestinya menjadikan seseorang kebal daripada godaan nafsu atau masalah moral.
Selain isu dorongan seksual yang gagal dikawal, pengurusan dana kuil turut menjadi antara perkara paling serius dan mendapat perhatian masyarakat.
Seperti diketahui, kuil menerima sumbangan daripada orang ramai yang percaya bahawa wang tersebut akan digunakan bagi tujuan keagamaan, penyelenggaraan kuil, pendidikan dan kerja kebajikan.
Namun, apabila timbul dakwaan mengenai penyelewengan atau penggelapan dana, kepercayaan masyarakat mula terhakis. Bagi mereka yang menderma, ia bukan sekadar sejumlah wang, sebaliknya merupakan satu amanah.
Sebagai golongan yang dihormati, seorang sami memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kesucian agama dan menjadi teladan. Namun, apabila kedudukan itu disalahgunakan demi kepentingan peribadi dan kemewahan, imej mereka turut tercalar.
Apabila kepercayaan disalahgunakan untuk kepentingan diri, nilai yang sepatutnya menjadi asas kehidupan beragama akhirnya bertukar menjadi alat untuk mengeksploitasi pihak lain.
Rentetan kes berprofil tinggi yang menggemparkan Thailand itu akhirnya menyingkap sisi gelap di sebalik tembok kuil yang selama ini dianggap sebagai tempat suci dan lambang kedamaian.
Apabila nafsu, wang dan kemewahan mula menguasai kehidupan golongan yang sepatutnya menjunjung kesederhanaan, bukan sahaja nama individu terbabit terpalit, malah maruah institusi turut menerima tempiasnya.
Info:
Skandal terbesar sami Buddha di Thailand
2023 – Phra Ajarn Khom (Khom Khongkaeo)
>Ditahan selepas dakwaan salah laku seksual terbongkar.
>Siasatan kemudian mendedahkan dakwaan penyelewengan dana kuil hampir 300 juta baht (RM36.9 juta).
>Wang tunai dan emas turut ditemui.
2025 – Skandal ‘Sika Golf’
>13 sami kanan dikaitkan dengan skandal seks selepas didakwa mempunyai hubungan sulit dengan wanita dikenali sebagai Wilawan Emsawat (Sika Golf).
>Kes itu turut melibatkan dakwaan pemerasan dan aliran wang dalam jumlah besar berjumlah kira-kira 385 juta baht (RM47 juta) yang dimasukkan dalam akaun Wilawan sepanjang tempoh tiga tahun.
>Beberapa sami dilucutkan status sami atau meninggalkan kehidupan keagamaan.
2025 – Phra Thammavajiranuwat (Yaem)
>Bekas Ketua Sami Wat Rai Khing.
>Disiasat kerana penyelewengan dana kuil lebih 300 juta baht (RM36.9 juta).
>Turut dikaitkan dengan aktiviti perjudian dalam talian. Dijatuhi hukuman penjara 50 tahun selepas didapati terlibat dalam kes penyelewengan dana kuil lebih 2 bilion baht (RM246 juta).
2025 – Luang Phor Alongkot (Kriengkrai Phetkaew)
>Bekas Ketua Sami Wat Phra Bat Nam Phu.
>Didakwa menyeleweng dana sumbangan berjumlah lebih 1 bilion baht (RM123 juta) yang sepatutnya digunakan untuk membantu pesakit HIV/AIDS dan golongan rentan.
2026 – Phra Wachirayan Wi (Luang Pho Atichot)
>Bekas Ketua Sami Wat Phutthaisawan.
>Ditahan kerana disyaki menyeleweng lebih 92 juta baht (RM11.3 juta) dana kuil. Ia disonglap untuk kegunaan peribadi.
>Siasatan turut mendedahkan dakwaan hubungan seksual dengan seorang wanita selepas adegan tidak senonoh mereka di atas sebuah meja tular.