Mohd Faizul mahu perkasa akar umbi bola sepak

Iklan
Mohd Faizul tawar diri sebagai calon muda Exco FAM

PENGALAMAN lebih sedekad dalam pengurusan bola sepak di Kuala Lumpur menjadi taruhan Mohd Faizul Mohd Nor untuk menawarkan diri sebagai calon muda bagi kerusi Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Pemilihan Luar Biasa Khamis ini.

Mohd Faizul mahu pengalaman yang dilaluinya sebagai pemain dan pentadbir bola sepak dimanfaatkan bagi memperkukuh pembangunan akar umbi, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat muda berkualiti untuk masa depan negara.

Iklan
Iklan

Latar belakangnya dalam bola sepak bermula di atas padang apabila pernah mewakili Kuala Lumpur Bawah 19 Tahun (B-19), PDRM B-21, KL Plus serta skuad futsal Kuala Lumpur sebelum beralih kepada bidang pengurusan dan pentadbiran.

Katanya, pengalaman sebagai pemain memberinya gambaran mengenai keperluan sebenar seseorang pemain untuk berkembang, manakala penglibatan dalam pengurusan pula mendedahkannya kepada cabaran yang dihadapi kelab dalam ekosistem bola sepak tempatan.

Iklan

“Fokus utama saya adalah pembangunan bakat muda, melahirkan pemain berkualiti untuk masa depan negara. Saya mahu pengalaman yang ada di peringkat Kuala Lumpur ini dibawa ke peringkat lebih luas supaya pembangunan akar umbi dapat diperkasakan dan menjadi asas kepada masa depan bola sepak Malaysia,” katanya.

Mohd Faizul juga mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Kuala Lumpur FA (KLFA), termasuk sebagai Exco badan itu sejak 2019, selain pernah memegang beberapa jawatan penting di peringkat KLFA dan kelab.

Iklan

Penglibatan berkenaan, katanya, memberikan pemahaman lebih menyeluruh mengenai keperluan pengurusan profesional, pembangunan pemain serta kepentingan hubungan antara kelab, persatuan bola sepak negeri dan komuniti.

Selain akar umbi, beliau turut mahu melihat struktur liga diperkemaskan supaya saingan domestik menjadi lebih kompetitif, profesional dan menarik kepada peminat.

Dalam masa sama, aspek tadbir urus turut menjadi antara agenda yang ingin diberi perhatian dengan penekanan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam proses membuat keputusan.

Beliau juga mahu kerjasama antara kelab, persatuan bola sepak negeri, penaja serta komuniti diperkukuh bagi mewujudkan ekosistem bola sepak yang lebih tersusun dan saling menyokong.

Dari sudut kemudahan pula, Mohd Faizul menggariskan keperluan memperkasa pembangunan infrastruktur menerusi penyediaan kemudahan serta model yang lebih mudah diakses dan dimanfaatkan komuniti bola sepak.

Menjelang pemilihan Exco FAM Khamis ini, beliau berharap pengalaman yang dikumpul sepanjang lebih sedekad dalam pengurusan bola sepak Kuala Lumpur dapat menjadi nilai tambah sekiranya diberi kepercayaan.

Matlamatnya adalah membawa pengalaman di peringkat negeri dan kelab ke platform lebih luas, terutama bagi memperkukuh pembangunan bola sepak negara dari akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi.