IPOH - Industri kecantikan dan kesihatan di Malaysia berkembang dengan begitu pesat sehingga menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Rizal Affendi Razali berkata, sektor itu merangkumi pelbagai bidang seperti penjagaan kulit, produk halal, perkhidmatan spa dan rawatan estetik.
Menurutnya, perkembangan industri berkenaan turut melibatkan lebih 28,600 syarikat berdaftar di seluruh negara yang menunjukkan skala pasaran yang semakin besar dan kompetitif.
"Angka ini memberikan satu mesej yang cukup jelas bahawa pasaran industri kecantikan dan kesihatan ini sangat luas. Peluangnya besar, tetapi persaingannya juga besar," katanya ketika merasmikan Seminar Beauty in Business 2026 di Galasa Caldwell di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah MARA Perak, Yuhaniz Mohamad Padil dan Presiden Malaysian Bumiputera Make Up Artist Assosiation, Datin Rosnawati Salleh.
Rizal Affendi berkata, dalam menghadapi persaingan itu, usahawan dalam industri kecantikan tidak seharusnya hanya menjadi pengikut trend semasa, sebaliknya perlu berani mencipta produk dan membina jenama sendiri.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan usahawan tempatan mampu menjadi pemain industri yang lebih kukuh dan tidak hanya bergantung kepada produk sedia ada.
Beliau berkata, MARA komited membantu usahawan bumiputera melalui pelbagai bentuk sokongan termasuk pembiayaan, latihan, bimbingan dan akses pasaran.
Namun katanya, setiap bantuan yang diberikan perlu diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti dan pertumbuhan perniagaan secara berperingkat.
"Daripada mikro kepada kecil, daripada kecil kepada sederhana dan akhirnya melahirkan syarikat yang mampu bersaing lebih jauh," katanya.
Sementara itu, seminar sehari anjuran MARA Perak itu telah menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai latar belakang industri kecantikan dan kesihatan.
Program berkenaan turut memberi pendedahan berkaitan pembangunan produk, pengurusan perniagaan serta pemantapan kemahiran profesional.
Turut disampaikan Pembiayaan Perniagaan di bawah skim MARA kepada enam usahawan dan Geran Transformasi Digital kepada tiga usahawan Perak melibatkan jumlah keseluruhan RM532,000.
Mengulas lanjut, Rizal Affendi berkata, bidang Makeup Artist (MUA) kini bukan lagi sekadar kemahiran sampingan, sebaliknya telah berkembang sebagai kerjaya profesional dengan nilai komersial tinggi.
Menurutnya, peluang dalam bidang itu merangkumi pelbagai segmen termasuk majlis perkahwinan, fesyen, produksi televisyen, acara korporat dan platform digital.
"Dengan kekuatan media sosial dan pemasaran digital pada hari ini, seorang MUA juga boleh membina personal branding, mengembangkan pengikut, menghasilkan kandungan digital dan seterusnya membina produk serta perkhidmatan sendiri," katanya.