PUTRAJAYA - Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah, perpaduan, patriotisme, kepimpinan dan nilai murni dalam kalangan murid.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM, Ithnin Mahadi berkata, program berkenaan memberi fokus kepada tiga strategi utama iaitu Pembudayaan Generasi MADANI, Pemimpin Generasi MADANI dan Pemangkin Generasi MADANI.
Menurutnya, setiap strategi dilengkapi aktiviti tersendiri bagi merealisasikan matlamat program dalam membentuk karakter murid secara menyeluruh.
Beliau berkata, pembentukan karakter perlu dimulakan sejak peringkat awal pendidikan bagi memastikan murid bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri, keyakinan, nilai patriotisme, semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial.
“Pada pandangan saya, program ini memberi impak yang sangat positif kepada kemenjadian murid.
“Kita bukan hanya mahu anak-anak kita pandai dari segi akademik, tetapi kita mahu mereka mempunyai karakter, jati diri dan nilai yang boleh membantu mereka dalam kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat Pengarah BSKK KPM, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat tiga aktiviti utama di bawah strategi Pembudayaan Generasi MADANI iaitu Makmal Aktif Lestari, Karnival KITA dan Duta Sayang MADANI.
Beliau berkata, strategi Pemimpin Generasi MADANI pula menampilkan aktiviti Kem Pemimpin Generasi MADANI, manakala strategi Pemangkin MADANI akan menyebarluas modul dan Konsep Pembentukan Karakter Generasi MADANI kepada semua murid di sekolah berkenaan.
Kongsinya, Makmal Aktif Lestari dan Karnival KITA turut menjadi antara inisiatif di bawah strategi Pembudayaan Generasi MADANI dengan menyediakan ruang kepada murid membina disiplin, keyakinan, kreativiti, tanggungjawab sosial serta kesedaran terhadap alam sekitar.
“Sebagai contohnya, Makmal Aktif Lestari menyediakan sudut interaktif di sekolah yang boleh digunakan untuk mengetengahkan isu semasa melalui poster dan infografik.
“Sementara itu, Karnival KITA pula disusun dengan beberapa zon yang membolehkan murid menyertai aktiviti berkaitan karakter, inovasi, tanggungjawab dan aspirasi seperti kawad kaki, pidato, inovasi, robotik, pertolongan cemas dan plogging,” katanya.
Bina karakter sejak prasekolah
Dalam usaha membentuk karakter sejak peringkat awal, beliau berkata, Duta Sayang MADANI dilaksanakan di peringkat prasekolah bagi membudayakan amalan nilai murni dalam kehidupan harian murid.
“Kita kena membina karakter daripada awal. Maknanya murid yang mengamalkan nilai seperti membantu rakan, senyum dan memberi salam diberikan pengiktirafan melalui Duta Sayang MADANI,” katanya.
Menurutnya, aktiviti lain di bawah Duta Sayang MADANI termasuk Pentas Bintang yang dilaksanakan bagi memberi peluang kepada murid bercakap dan bercerita di hadapan kelas sekali gus meningkatkan keyakinan diri.
Ithnin berkata, pendekatan Duta Sayang MADANI di bawah strategi Pembudayaan Generasi MADANI penting kerana pembentukan karakter perlu dimulakan seawal prasekolah melalui aktiviti yang mudah dan menyeronokkan.
Kem bentuk pemimpin muda
Beliau memaklumkan, Kem Pemimpin Generasi MADANI pula menjadi platform membentuk murid sebagai pemimpin muda yang mampu membawa nilai positif kembali ke sekolah.
Katanya, pada peringkat awal, kem berkenaan dilaksanakan secara terpilih, namun kesan positif yang dikenal pasti membawa kepada usaha memperluaskan pelaksanaannya.
Ithnin memberitahu, dapatan kajian impak pelaksanaan Kem Pemimpin Generasi MADANI 2025/2026 menunjukkan program berkenaan berjaya memperkukuhkan identiti kebangsaan dan integrasi sosial dalam kalangan murid.
“Berdasarkan laporan akhir kajian impak berkenaan, Indeks Purata Keseluruhan Kem Pemimpin Generasi MADANI mencatat skor 4.26 daripada 5.00, iaitu pada tahap tinggi, dengan semua konstruk yang diukur mencatat skor melebihi 4.00.
“Kajian itu turut mendapati nilai perpaduan mencatat skor tertinggi iaitu 4.34, diikuti patriotik sebanyak 4.26 dan kesukarelawanan 4.16, kesemuanya berada pada tahap tinggi,” kongsinya lagi.
Ithnin berkata, dapatan tersebut menunjukkan program berkenaan berjaya memperkukuh identiti kebangsaan dan integrasi sosial dalam kalangan peserta, selain semakin relevan dalam mendepani cabaran polarisasi sosial.
“Jadi, tiga nilai yang diukur iaitu perpaduan, patriotik dan kesukarelawanan bagi muridmurid yang terlibat dalam Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI ini sangat-sangat bagus,” katanya.
Menurut Ithnin, kajian berkenaan turut menunjukkan murid yang menyertai program tersebut memperlihatkan peningkatan dari segi empati, tanggungjawab sosial dan keyakinan memimpin.
Beliau memaklumkan, pembangunan karakter murid tidak hanya bergantung kepada satu program, sebaliknya turut diterapkan menerusi aktiviti sukan, kokurikulum dan kesenian yang dilaksanakan di sekolah.
Justeru, katanya, Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI diperluas ke seluruh sekolah di Malaysia, institusi pendidikan guru (IPG) dan kolej matrikulasi.
Perluasan tersebut dibuat selepas pelaksanaan program menunjukkan kesan positif terhadap pembentukan karakter, perpaduan dan patriotisme.
Hadapi cabaran globalisasi, AI
Dalam pada itu, Ithnin berkata, usaha membina karakter semakin penting dalam menghadapi perubahan akibat globalisasi, perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang mempengaruhi cara golongan muda berinteraksi.
Bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan, beliau berkata, program berkenaan turut menjadi medium untuk membina semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid.
Menurutnya, program tersebut perlu menjadi asas dalam membina jati diri, kekuatan dalaman, semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air.
Dalam pada itu, kongsinya, secara keseluruhannya, pembangunan karakter murid bukan hanya berlaku menerusi satu program khusus, sebaliknya diterapkan melalui pelbagai program di bawah BSKK termasuk sukan, kokurikulum, kesenian, bahasa, kepimpinan dan inovasi.
Katanya, BSKK turut memberi ruang kepada murid mengembangkan bakat melalui Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Seni Malaysia, selain program seperti debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menerusi Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta Junior Innovathon yang menggalakkan kreativiti, daya cipta dan keyakinan murid.
“Bagaimanapun, usaha berkenaan bukan tanggungjawab KPM semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan ibu bapa, guru, sekolah, agensi dan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata, komitmen padu daripada pendidik, ibu bapa dan komuniti amat diperlukan agar bersama-sama mampu melahirkan generasi muda yang bukan sekadar berminda global, tetapi sentiasa berpijak teguh di bumi Malaysia.