KUANTAN -Kapasiti bekalan air di Temerloh meningkat kira-kira 700 meter padu sejam selepas Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menggantikan keseluruhan pam di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Kawah dengan kos RM12.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, penggantian itu menjadikan pam baharu lebih cekap sekitar 20 hingga 30 peratus.
Menurutnya, keupayaan LRA Lubuk Kawah masih mempunyai ruang untuk ditambah lagi sebelum mencapai tahap maksimum.
“Sebelum ini, loji kita hanya dapat menjana bekalan air 4,300 meter padu sejam. Apabila pam berkenaan ditukar, kini ia mencatatkan peningkatan berjumlah 5,000 meter padu sejam.
“Kita boleh meningkatkannya sehingga 5,300 meter padu sejam, mungkin ada tambahan 300 lagi sebelum lagi sebelum kita mencapai kemampuan maksimum LRA Lubuk Kawah,” katanya ketika ditemubual Sinar Harian di pejabat di pejabat PAIP di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Saiful Zaini memberitahu terdapat dua faktor yang mempengaruhi keupayaan bekalan air sebelum ini iaitu kemerosotan kecekapan pam dan peningkatan penggunaan air susulan pembangunan pesat di sekitar Temerloh, Mentakab dan Lanchang.
Jelas beliau, situasi tersebut menyebabkan kawasan agihan di penghujung jajaran sering berdepan masalah tekanan air rendah atau gangguan bekalan terutama di Lanchang yang terletak jauh dari LRA Lubuk Kawah.
“Impaknya, tidak ada kecukupan aliran atau bekalan air yang sampai ke kawasan sekitar, terutama Temerloh dan akhirnya Lanchang.
“Kami mengambil langkah menggantikan pam-pam ini untuk memastikan kecekapan kembali optimum,” katanya.
Menurut Saiful Zaini, peningkatan kapasiti berkenaan telah mengubah tumpuan penyelesaian masalah bekalan air di kawasan terbabit apabila PAIP kini memberi
tumpuan kepada fasa agihan, khususnya membabitkan paip pecah dan bocor.
Saiful Zaini menambah, pendekatan berkenaan membolehkan kira-kira 95 peratusmasalah bekalan air di kawasan Lanchang diselesaikan, manakala baki masalah akan ditangani secara berperingkat.
“Kami menyasarkan penyelesaian masalah air di Lanchang sebanyak 95 peratus hingga 98 peratus, insya-ALLAH,” katanya.
Beliau berkata, usaha berperingkat itu turut membolehkan kawasan black spot 'dibirukan' bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.
“Daripada situ kita dapat lihat bagaimana kawasan tersebut dapat ‘dibirukan’ untuk memastikan air sampai kepada pengguna dengan keadaan tekanan dan aliran yang baik. Ia juga dapat mengurangkan paip pecah atau bocor,” katanya.
Transformasi PAIP
Saiful Zaini menambah, penyelesaian masalah bekalan air di sekitar Temerloh adalah sebahagian daripada gerakan transformasi PAIP yang dilaksanakan sejak 2020 selepas kajian menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti lokasi yang berdepan tekanan rendah dan kawasan tidak menerima bekalan.
Jelasnya, pihaknya mengambil masa kirakira enam bulan untuk mengenal pasti kawasan dan menghimpunkan segala permasalahan sebelum ia didokumentasikan bagi menentukan penyelesaian yang bersesuaian.
“Ia juga keprihatinan Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang yang sangat komited untuk memberikan kepercayaan kepada PAIP untuk menjayakan usaha ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saiful Zaini berkata, pihaknya turut merancang pembinaan tangki besar di antara Lanchang dan Lubuk Kawah untuk memastikan bekalan dapat disalurkan dengan tekanan dan aliran yang baik tanpa keperluan membina loji rawatan air baharu.
“Kita tidak perlu loji baharu sebenarnya. Pahang mempunyai 76 loji rawatan air ketika ini. “Kami perlukan kemudahan simpanan air untuk memastikan bekalan sampai kepada pengguna dengan tekanan dan aliran yang baik,” jelasnya.
Mengulas fasa transformasi seterusnya, Saiful Zaini memaklumkan PAIP menyediakan perancangan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM2.6 bilion untuk jangka panjang menjelang 2030, merangkumi penaiktarafan loji, pembinaan tangki dan peruntukan RM600 juta khusus bagi penggantian paip.
Menurutnya, fasa kedua transformasi untuk memastikan prestasi sistem bekalan air dapat dikekalkan untuk tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang.
Sentuhan Rakyat Makmur dekati rakyat
Dalam pada itu, Saiful Zaini berkata, Kerajaan Negeri Pahang berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai PAIP dalam menangani masalah bekalan air di negeri itu.
Menurutnya, maklum balas berkenaan turut dilihat melalui program Sentuhan Rakyat Makmur yang membolehkan pihaknya bertemu penduduk di setiap daerah setiap bulan.
“Kami tidak menerima banyak soalan lagi, aduan daripada penduduk memberikan gambaran mereka berpuas hati menikmati projek yang dilaksanakan oleh PAIP.
“PAIP akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan secara berterusan seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu PAIP turut memperkukuh ketahanan infrastruktur bekalan air bagi menghadapi banjir dan kemarau menerusi pelaburan kira-kira RM20 juta di seluruh Pahang.
Katanya, antara langkah dilaksanakan ialah menaikkan panel elektrik serta kabel ke kawasan lebih tinggi dan menggunakan sistem pam pontoon di muka sauk (struktur pelantar terapung seperti rakit) bagi memastikan operasi loji dapat diteruskan mengikut perubahan paras air.
“Pam pontoon itu berfungsi seperti pelampung yang boleh naik dan turun mengikut paras air dan masih dapat beroperasi dengan baik.
“Sekiranya paras air meningkat akibat banjir, ia masih dapat memproses air pada musim kemarau apabila paras air menurun, ia masih boleh memproses air,” jelasnya.
Katanya, keberkesanan sistem itu terbukti ketika banjir di Jerantut kira-kira enam bulan lalu apabila loji terbabit tidak ditutup kerana pam pontoon masih berfungsi.
Bagaimanapun, menurutnya, kejadian di luar kawalan seperti kepala air dan balak yang melanggar kemudahan masih boleh menjejaskan operasi.
“PAIP membuat sebaik mungkin untuk memastikan ia boleh beroperasi pada masa kecemasan, banjir atau kemarau,” katanya.