Pengasuh mengaku tidak bersalah dedahkan kanak-kanak kepada risiko kematian

Iklan
Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan di bawah jagaannya kepada keadaan yang mungkin menyebabkannya meninggal dunia, minggu lepas.

GEORGE TOWN - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan di bawah jagaannya kepada keadaan yang mungkin menyebabkannya meninggal dunia, minggu lepas.

Noraidah Khairuddin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Noraidah sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berkenaan didakwa mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya meninggal dunia.

"Saya tak mengaku salah kerana saya tak buat apa-apa kat dia," katanya.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Mawar, Lintang Kampung Melayu 2, Air Itam, pada 2 petang, 8 September lepas.

Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Naqieya Zulkernain yang mewakili tertuduh menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan suri rumah, yang bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang tidak mempunyai pendapatan tetap, selain mempunyai tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan dan tidak menghampiri atau mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 November depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pada 10 September lepas, polis menahan pengasuh berkenaan dan ibu kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dengan bibir kebiruan di rumah pengasuhnya di Air Itam. - Bernama