PROPER A ubah hobi anak muda jadi sumber rezeki

Iklan
Muhammad Iezhan mengakui kursus di bawah Program PROPER A yang disertainya berjaya mengubah hobi menjadi peluang menjana pendapatan.

Muhammad Iezhan mengakui kursus di bawah Program PROPER A yang disertainya berjaya mengubah hobi menjadi peluang menjana pendapatan.

TELUK INTAN – Hanya sebulan selepas menamatkan kursus Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), seorang anak muda berjaya menjana pendapatan menerusi perkhidmatan cucian dan kemasan kenderaan.

Iklan
Iklan

Muhammad Iezhan Zainal, 25, dari Kampung Bahagia berkata, pencapaian itu memberi keyakinan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan berkenaan sehingga mampu dijadikan kerjaya sepenuh masa.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya bekerja sambilan sebagai pemandu dengan pendapatan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan bergantung kepada jumlah tugasan.

Iklan

“Saya melihat iklan program PROPER A di Facebook MAIPk sebelum menghadiri temu duga di Teluk Intan. Selepas kira-kira dua minggu, saya dimaklumkan terpilih mengikuti kursus perkhidmatan cucian dan kemasan kenderaan.

“Sebelum ini memang tiada kemahiran formal dalam bidang ini, tetapi membersihkan kereta dan motosikal adalah hobi saya. Saya tidak suka melihat kenderaan berhabuk, jadi itu yang mendorong saya mengikuti kursus ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Muhammad Iezhan berkata, sebaik tamat kursus yang berlangsung kira-kira tiga bulan itu dia terus memulakan perniagaan selepas menerima kelengkapan disediakan MAIPk termasuk menerima mesin penggilap, mesin semburan air bertekanan tinggi dan bahan pencuci.

“Selepas tamat kursus, saya terus buat. Alhamdulillah, orang kampung memberikan sokongan dengan mereka sendiri menghantar kenderaan untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Berdasarkan rekod, saya mendapat 49 pelanggan pada Ogos lalu, manakala setakat bulan ini sudah 12 pelanggan. Dari hujung Julai sehingga sekarang, jumlah pendapatan saya kira-kira RM2,600,” kata bekas penuntut Kolej Komuniti Pasir Salak itu.

Dalam pada itu, anak sulung dari tiga beradik itu berkata, selain pelanggan datang ke rumah, dia turut menerima tempahan perkhidmatan bergerak termasuk dari Seri Iskandar dengan kadar bayaran yang berlainan.

“Saya harap sambutan terus bertambah supaya perniagaan ini berkembang dan saya dapat menjadikannya pekerjaan sepenuh masa.

“PROPER A adalah satu harapan untuk masa depan kerana bukan sahaja mendapat peralatan tetapi ilmu dan keyakinan untuk berniaga,” kata pemilik jenama Bob Detailing itu.

Inisiatif yang berjaya mengubah hidup anak muda itu selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.