KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik Mohd Marzuki Yasoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa semalam.
SKM memaklumkan, Mohd Marzuki yang mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam gerakan koperasi diharap dapat terus memperkukuh keupayaan suruhanjaya itu dalam menghadapi landskap gerakan koperasi yang kian dinamik di samping meningkatkan daya saing, profesionalisme dan tadbir urus sektor koperasi.
Iklan
Iklan
"Pelantikan ini langkah penting bagi memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran SKM, sejajar dengan hasrat untuk terus memperkasakan gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” menurut SKM dalam kenyataan hari ini.
Mohd Marzuki akan menerajui pengurusan dan operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi serta program pembangunan koperasi dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan berimpak.
Menurut SKM, berlandaskan kepimpinan baharu itu, pihaknya akan menumpukan kepada usaha memperkukuh ekosistem koperasi dengan memperkasakan tadbir urus, meningkatkan keupayaan koperasi, mengembangkan aktiviti perniagaan, menggalakkan inovasi serta mempercepat transformasi digital.
Kenyataan itu menjelaskan sebagai badan kawal selia tunggal gerakan koperasi negara, SKM akan meneruskan kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) yang mewakili suara dan kepentingan gerakan koperasi di dalam dan luar negara.
SKM juga akan memperhebat kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pemegang taruh gerakan koperasi bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai antara pemacu penting ekonomi negara. - Bernama