KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas melalui perbicaraan kes Program Jana Wibawa, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan empat daripada tujuh pertuduhan berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd itu.
Beliau berkata, selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan undang-undang berkaitan yang dikemukakan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan bahawa pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan, pendakwa raya boleh memaklumkan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh bagi sesuatu pertuduhan.
Hakim berkata, pihak pendakwaan tidak melampirkan sebarang alasan bagi permohonan berkenaan selain menyatakan tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.
"Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan memihak kepada tertuduh.
"Mahkamah memberi perintah DNA bagi empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa," katanya.
Mendengar perkara berkenaan, Muhyiddin yang duduk di kandang tertuduh kelihatan lega, disambut sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam.
Mengikut satu pertuduhan, Muhyiddin sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity bagi sekutu tertuduh, iaitu parti berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 8 dan 25 Februari 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB dan AmBank milik parti berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini dan AmBank Cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor antara 25 Februari dan 8 Februari 2022 serta 8 Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil AMLA atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.