ALOR SETAR - “Dua hari lalu dia minta kasut bola sepak. Katanya nak guna untuk latihan dan bermain bola sepak.”
Itu luahan dan antara kenangan terakhir yang bermain di fikiran Mohd Ashrafudin Ramzan, 41, sebelum anaknya, Muhammad Arif Naufan, 8, pergi buat selama-lamanya dalam tragedi empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di Kulim pada Isnin.
Lebih menyayat hati, tragedi itu turut meragut seorang lagi anak tirinya, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, menyebabkan Mohd Ashrafudin kehilangan dua anak serentak dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, Muhammad Arif Naufan sempat meminta dibelikan kasut bola sepak kerana ada latihan dan mahu bermain bola sepak pada Oktober ini.
“Dia suka bermain bola sepak dan selalu keluar bermain. Tidak sangka permintaan itu menjadi antara perkara terakhir yang dia sempat minta daripada saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan, dalam kejadian jam 7.30 malam, empat kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun dipercayai pergi mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum mereka ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kesemua mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; adik tirinya, Muhammad Arif Naufan, 8; serta dua rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Dalam pada itu, Mohd Ashrafudin yang bekerja sebagai pembantu keselamatan di sebuah agensi awan berkata, dia mengetahui tentang kejadian tersebut semasa berada di tempat kerja sebelum bergegas ke Hospital kulim.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu mempunyai hubungan rapat namun Muhamad Aeril Aziz mempunyai sifat lebih pendiam.
“Dua tiga hari lalu sebelum kejadian, saya perasan Arif Naufan agak manja. Dia minta saya suapkan makanan sedangkan sebelum ini dia tidak pernah buat begitu.
“Sekarang bila fikir balik, perkara kecil itu yang paling saya ingat tentang dia Sekarang," ujarnya.
Jelas Mohd Ashrafudin berkata, dua anaknya dan dua lagi rakannya merupakan sahabat baik di bangku sekolah rendah dan sering menghabiskan masa bersama.
Menurutnya, kehilangan dua lagi mangsa turut dirasai kerana mereka sering datang ke rumah.
“Sekarang keempat-empat mereka sudah tiada dan mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan, Kulim selepas urusan bedah siasat di HSB selepas," katanya lagi.