KUANTAN - Kadar bayaran sara hidup bulanan kepada peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) di empat penempatan itu di negeri ini dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,100 seorang sebulan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu melibatkan 563 peserta RPSK di Sungai Chalit, Raub; Merapoh, Peruang dan Jerkoh di Lipis.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kenaikkan bayaran sara hidup bulanan yang dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) itu melibatkan tambahan implikasi kewangan RM675,600 setahun.
"Bayaran kadar baharu ini akan bermula Januari tahun hadapan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, kadar bayaran sara hidup itu tidak pernah disemak semula sejak tahun 2013, justeru sudah tiba masanya ia dinilai semula agar lebih bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa.
"Kenaikan itu diharap memberikan sedikit kelegaan kepada para peserta dan keluarga mereka dalam menguruskan perbelanjaan harian," katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.