3,096 anggota bomba komuniti, 632 anggota PBS siap siaga hadapi MTL

Iklan
Mohd Razam meninjau sesi pengujian dan pemeriksaan logistik operasi banjir sempena kesiapsiagaan MTL 2026/2027 di Jeti Shahbandar pada Khamis.

KUANTAN - Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan anggota bomba komuniti di negeri ini digerakkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula 27 Oktober hingga Mac tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, Pahang mempunyai 29 PBS dengan keanggotaan 632 anggota aktif dan 3,096 anggota bomba komuniti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gabungan kekuatan pasukan sukarela serta aset logistik itu membantu JBPM Negeri Pahang memperkukuh kesiapsiagaan bagi melaksanakan operasi di kawasan yang terjejas sekiranya banjir berlaku.

"Pada masa sama semua 1,142 pegawai dan anggota dari 29 BBP di negeri ini juga diarah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir termasuk banjir kilat.

Iklan

"Selain kekuatan anggota, operasi akan turut disokong 55 bot pelbagai jenis, 13 lori, 38 kenderaan utiliti dan 12 ambulans yang boleh digunakan mengikut keperluan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pengujian dan pemeriksaan logistik operasi banjir di Jeti Shahbandar di sini pada Khamis.

Iklan

Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL 2026/2027 itu bagi menilai tahap kesiapsiagaan anggota, aset marin serta peralatan operasi menyelamat.

Program melibatkan 45 pegawai dan anggota dari lima balai terdiri BBP Kuantan, BBP Gebeng, BBP Taman Tas, BBP Indera Mahkota dan BBP Sungai Lembing.

Mohd Razam bersama pegawai dan anggota yang menyertai sesi pengujian serta pemeriksaan logistik operasi banjir sempena kesiapsiagaan MTL 2026/2027 di Jeti Shahbandar pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Razam berkata, PBS turut diminta menyertai pemeriksaan dan ujian aset serta peralatan banjir yang dijadualkan berlangsung serentak di seluruh negara pada 31 Oktober ini bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JBPM Negeri Pahang telah menubuhkan dua Pasukan Gerak Cepat (PGC) masing-masing di BBP Indera Mahkota dan BBP Bukit Angin, Temerloh.

"Kedua-dua pasukan ini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan operasi dan perkembangan situasi semasa bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan di kawasan yang dilanda bencana," katanya.

Beliau berkata, JBPM Pahang kini memantau 763 kawasan 'hotspot' banjir di seluruh negeri yang dikenal pasti berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk menjalankan rondaan apabila hujan lebat berterusan selama lima hingga enam jam.

"Semua BBP di negeri ini sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap kawasan berisiko banjir dalam kawasan jagaan masing-masing.

"Pemantauan itu penting bagi membolehkan tindakan awal dan penyelarasan operasi dilaksanakan dengan lebih pantas sekiranya berlaku kejadian banjir, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi," ujarnya.

Mohd Razam berkata, kesiapsiagaan turut melibatkan kawalan cuti anggota bagi memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus kekuatan berada di balai atau berhampiran untuk digerakkan apabila diperlukan.