JOHOR BAHRU - Daripada langkah zapin, petikan gambus hingga irama gamelan, warisan budaya Johor terus dipertahankan apabila ilmu yang diwarisi daripada generasi terdahulu disambung pula oleh anak dan cucu.
Di Kampung Parit Mastar, Benut dekat Pontian, legasi zapin Parit Mastar yang diasaskan Allahyarham Keliwon Denan diwarisi anaknya, Zubaidah, 67, atau lebih dikenali sebagai Mak Bedah sebelum diteruskan empat cucu, Siti Masfuzah Miswan 40, Masselih 36, Siti Masturina, 32, dan Siti Massilah, 30.
Masselih yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, sejak dahulu, zapin dekat dengan masyarakat kampung terutama ketika kenduri perkahwinan.
“Selain gerak tari, zapin Parit Mastar turut mempunyai lagu identiti seperti Ya Ladan, Zapin Budi dan Sayang Cik Dollah.
“Semua gerakannya sopan, tetapi masih menarik. Itu antara kekuatan zapin,” katanya.
Ujar Masselih, usaha memperluaskan zapin Parit Mastar turut melalui program bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Johor dengan membawa latihan dan pendedahan seni berkenaan ke sekolah seluruh negeri.
Di Kampung Permatang Duku pula, pengasas Kumpulan Tunas Warisan, Amar Abu, 65, meneruskan perjuangan memartabatkan seni budaya masyarakat Jawa bersama anak bongsunya, Mohd Nizal Amar, 21.
Hampir dua dekad Amar mempelajari dan mempertahankan pelbagai seni tradisional termasuk gasing pangkah Johor, gamelan, tarian reog dan wayang kulit Jawa.
Menurut Amar, kecintaan terhadap seni budaya bermula daripada bapanya, Abu Abdul Salam yang juga penggiat seni Jawa di kampung berkenaan.
Kini, warisan itu diteruskan pula Mohd Nizal yang mula bermain gong ketika berusia lapan tahun.
“Sejak kecil saya sudah biasa dengar alunan muzik gamelan dan lagu-lagu Jawa seperti Ladrang serta Sampak yang dimainkan bapanya.
"Kami pernah dijemput membuat persembahan di luar daerah Pontian terutama Johor Bahru. Dari situ saya dapat perkenal seni budaya masyarakat Jawa," ujar Mohd Nizal.
Sementara itu di Batu Pahat, dua beradik, Zaidan Attan, 38, dan Dr Mohd Nizam Attan, 59, meneruskan legasi arwah bapa mereka, Attan Hassan yang merupakan pengasas Kumpulan Gambus Nurulhilal.
Zaidan berkata, kecintaan terhadap gambus bermula sejak mempelajari alat muzik tradisional itu ketika berusia sembilan tahun.
Menurutnya, alat muzik itu tidak mempunyai fret dan memerlukan kemahiran menguasai petikan tali, rentak dan pendengaran muzik yang baik.
Mohd Nizam pula memberitahu, semua genre gambus termasuk ghazal Melayu Johor, zapin Melayu, gambus Samrah dan hamdolok perlu dikekalkan dalam bentuk asal.