KUALA TERENGGANU - Warisan makanan tradisional terus mewarnai Wajah Malaysia apabila inovasi dan kreativiti generasi baharu berjaya mengangkat produk tempatan Terengganu daripada hidangan turun-temurun kepada perniagaan bernilai jutaan ringgit.
Di Kampung Batu Putih, Marang, usahawan makanan tradisional berasaskan nisan kerek, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 28, mencatatkan jualan tahunan yang lumayan menerusi pelbagai inovasi menu moden.
Nur Nadirah atau lebih mesra dipanggil Cik Na memulakan perniagaan secara perseorangan pada 2000 dengan menghasilkan kopi nisang dan colek nisang kampung, kini berkembang pesat dengan tawaran lebih 20 jenis produk, termasuk egg waffle nisang cheese.
"Perniagaan ini mula berkembang daripada dua staf pada 2022 sehingga kini menggaji 51 pekerja tempatan menerusi dua cawangan di Chendering dan sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Berang.
Mengulas mengenai cabaran yang ditempuh, Nadirah mengakui aspek kawalan kualiti adalah paling mencabar kerana produknya tidak menggunakan bahan pengawet dan berasaskan nisan asli.
Bagi jangka panjang, dia merancang membesarkan kilang sedia ada di Kampung Batu Putih dan berhasrat membuka sebuah resort berkonsepkan hutan serta tradisional menjelang 2028.
Sementara itu, pengusaha Kori Keropok Lekor Losong (2K2L) di Losong di sini, Ahmad Bukhari Ayob, 40, mengambil pendekatan mengekalkan resipi asal dan harga jualan sejak 15 tahun lalu demi menjaga mutu produk.
Menggunakan ikan tamban dan selayang sebagai bahan utama, beliau mampu menjual antara 200 hingga 300 kilogram keropok lekor sehari, manakala permintaan meningkat sehingga 500 kilogram sehari menjelang musim cuti sekolah.
Ahmad Bukhari yang kini dibantu 10 pekerja tempatan berkata, tenaga kerja seramai 15 orang serta mengambil pekerja sambilan diperlukan bagi menampung permintaan tinggi pada musim percutian.