KOTA BHARU – Seorang bapa yang dipercayai menyepak anak perempuannya di sebuah restoran di Telipot di sini Jumaat lalu, ditahan polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu.
“Suspek kini ditahan reman bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, akhbar melaporkan polis mencari seorang lelaki dan anak perempuannya bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan lelaki berkenaan bertindak kasar dengan menyepak kanak-kanak itu di hadapan ramai pelanggan di sebuah restoran.
Menurut Mohd Azmir, polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 10.24 malam Sabtu berhubung video kejadian yang tular di media sosial menerusi aplikasi Threads.
Berdasarkan rakaman berkenaan, seorang lelaki dilihat bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.