Langgar bon PKR: Bayaran RM10 juta terhadap Zuraida munasabah – Peguam

Iklan
Datuk Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA, - Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana melanggar bon dengan parti itu adalah munasabah.

Peguam Ranjit Singh, yang mewakili PKR, berkata terdapat pengakuan dari segi fakta bahawa sejumlah RM10 juta atau lebih RM10 juta telah dibelanjakan untuk Zuraida.

Iklan
Iklan

"Zuraida mengakui bahawa nilai yang diberikan kepadanya melebihi RM10 juta manakala klausa yang berkuat kuasa menetapkan jumlah RM10 juta perlu dibayar sekiranya berlaku perkara-perkara yang telah ditetapkan," katanya semasa pendengaran rayuan PKR terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon yang dikenakan ke atas Zuraida daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Beliau berkata rayuan itu pada dasarnya adalah berkaitan dengan kesan undang-undang terhadap pengakuan nilai secara kontrak apabila Seksyen 75 Akta Kontrak diguna pakai.

Iklan

Peguam itu berkata walaupun bon tersebut bersifat kontraktual, ia dibuat berdasarkan latar belakang landskap politik negara pada masa berkenaan, apabila gabungan politik menjadi kebiasaan dan amalan melompat parti adalah masalah serius kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan kerajaan tumbang.

"Bon itu perlu diteliti dengan cara yang menjelaskan sebab jumlah RM10 juta ditetapkan, yang pada pandangan awal mungkin kelihatan keterlaluan namun hakikatnya, lihatlah apa yang telah berlaku. Langkah Sheraton telah menyebabkan Pakatan Harapan tumbang di peringkat Persekutuan," katanya yang dibantu oleh peguam Navpreet Singh.

Iklan

Sementara itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Zuraida berhujah bahawa tiada kategori berasingan atau khusus bagi"kontrak politik" yang dikecualikan daripada Seksyen 75 Akta Kontrak.

"Sesuatu pihak tidak boleh menggunakan status dan kedudukannya sebagai parti politik untuk memintas perlindungan statutori terhadap klausa penalti. Seksyen 75 akta sama tidak terhenti penggunaannya semata-mata kerana kewajipan kontrak itu timbul dalam konteks parti politik.

"Jika diputuskan sebaliknya, ia akan mewujudkan pengecualian terhadap Seksyen 75 melalui implikasi kehakiman. Mahkamah ini tidak seharusnya membenarkan pendekatan sedemikian," katanya yang dibantu oleh peguam Nizamuddin Hamid.

Azhar berkata dari sudut praktikal, sifat hubungan unik antara parti politik dengan calonnya ialah hubungan antara sebuah institusi dengan seorang individu yang tidak mempunyai kedudukan tawar-menawar undang-undang yang setara semasa merundingkan jumlah bon yang dikenakan secara unilateral sebagai syarat atau pertimbangan bagi pencalonan.

"Ketidakseimbangan kuasa tawar-menawar ini tidak bergantung pada kekananan atau kedudukan calon dalam parti.

"Ikatan perjanjian itu menunjukkan bahawa ia bukanlah persetujuan yang dirunding secara individu dengan responden secara bebas berunding dan bersetuju bahawa jumlah RM10 juta adalah kadar pampasan yang munasabah sekiranya berlaku perlanggaran. Ia dikenakan ke atas responden oleh parti," katanya sambil menambah bahawa bayaran RM100,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan adalah munasabah

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azmi Ariffin, menangguhkan keputusan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pada 24 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan PKR mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

Pada 11 Dis 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida telah melanggar bon tersebut, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum ini, pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan memihak kepada PKR dan memerintahkan Zuraida, yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, membayar RM10 juta selaras dengan terma bon berkenaan.

 Hakim yang mendengar kes berkenaan, Datuk Akhtar Tahir memutuskan bahawa bon tersebut adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Saman itu difailkan pada 2020 oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti, dengan mendakwa Zuraida telah melanggar syarat bon yang ditandatanganinya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Di bawah bon tersebut, antara lain, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya beliau meletak jawatan dalam parti atau menjadi wakil rakyat Bebas selepas dipilih atas tiket parti berkenaan.

Dalam pembelaannya, Zuraida mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon tersebut bagi membolehkannya bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum di bawah tiket PKR. - Bernama