DEWAN Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menggesa kerajaan menjadikan usaha mengurangkan kos serta ketidaktentuan dalam menjalankan perniagaan sebagai antara keutamaan utama dalam Belanjawan 2027.
Presidennya, Christina Tee berkata, gesaan itu dibuat susulan sektor perniagaan yang terus berdepan peningkatan kos pematuhan, utiliti dan operasi selain tekanan aliran tunai selepas peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Perniagaan masih boleh membuat perancangan apabila berdepan kos yang diketahui walaupun ia sukar ditanggung, namun ketidaktentuan jauh lebih sukar diuruskan.
“Garis masa yang jelas, rasional bagi sesuatu keputusan serta penyelesaian segera terhadap pembayaran tertunggak merupakan syarat asas bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang cekap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Christina berkata, peluasan SST telah meningkatkan kerumitan pematuhan selain mewujudkan kesan berantai di sepanjang rantaian bekalan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa yang sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi serta persekitaran perniagaan semasa.
“Sebagai sistem cukai penggunaan yang lebih menyeluruh dan cekap, GST membolehkan perniagaan menuntut kredit cukai input.
“Ia mampu mengurangkan kesan cukai berantai, meningkatkan ketelusan serta pematuhan, selain menyediakan asas hasil yang lebih mampan berbanding SST,” katanya.
MICCI turut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang jelas bagi agensi kerajaan, termasuk menetapkan tempoh pemprosesan untuk permohonan, kelulusan dan pengemukaan dokumen.
Menurut Christina, sebarang penolakan permohonan juga perlu disertakan alasan atau justifikasi yang jelas supaya pihak perniagaan dapat memahami serta mengambil tindakan bagi menangani isu yang dikenal pasti.
Bagi syarikat yang bergantung kepada diesel pula, beliau mencadangkan agar pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikaji semula, khususnya berkaitan pengurusan kuota berdasarkan kenderaan.
“Belanjawan 2027 bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada dasar yang diumumkan, tetapi juga sejauh mana komuniti perniagaan dapat menikmati kelegaan yang praktikal dan tepat pada masanya daripada kos serta ketidaktentuan yang dihadapi,” katanya.