Prabowo rombak Kabinet buat kali keenam, Suahasil Nazara Menteri Kewangan baharu

Iklan
Suahasil Nazara mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan baharu di Istana Negara, Jakarta pada 14 September 2026. Beliau menggantikan Purbaya Yudhi Sadewa dalam rombakan Kabinet Merah Putih. Foto: Detikcom

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sekali lagi merombak Kabinet Merah Putih pada Isnin dengan menggantikan Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, dengan Suahasil Nazara.

Pelantikan Suahasil berlangsung di Istana Negara, Jakarta, sekali gus menjadikan rombakan Kabinet kali ini sebagai yang keenam sejak Prabowo memegang jawatan Presiden pada Oktober 2024.

Iklan
Iklan

Perubahan itu menyaksikan Suahasil kembali menerajui Kementerian Kewangan selepas pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan Indonesia.

Rombakan pertama Kabinet Prabowo berlaku pada 19 Februari 2025 apabila Brian Yuliarto dilantik menggantikan Satryo Brodjonegoro sebagai Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi.

Iklan

Pada 8 September tahun sama, Prabowo melakukan rombakan kedua yang menyaksikan beberapa jawatan penting berubah, termasuk Menteri Kewangan yang ketika itu disandang Sri Mulyani Indrawati.

Purbaya kemudian dilantik menggantikan Sri Mulyani dalam rombakan berkenaan.

Iklan

Rombakan ketiga dilakukan pada 17 September 2025 bagi mengisi beberapa jawatan yang masih kosong, termasuk Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan serta Menteri Belia dan Sukan.

Pada 8 Oktober 2025, Prabowo meneruskan rombakan keempat dengan melantik beberapa timbalan menteri dan pembantu khas Presiden, selain membentuk Jawatankuasa Eksekutif Percepatan Pembangunan Autonomi Khas Papua.

Rombakan kelima pula berlaku pada 27 April 2026 membabitkan enam jawatan, antaranya Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Badan Pengawalan Alam Sekitar, Ketua Staf Presiden dan Ketua Badan Komunikasi Kerajaan.

Dengan pelantikan Suahasil pada Isnin, perubahan kepimpinan Kementerian Kewangan menjadi rombakan terbaharu dalam pentadbiran Prabowo-Gibran. - Agensi