KUANTAN – Persinggahan yang tidak dirancang untuk mencari surau ketika dalam perjalanan dari Simpang Pulai, Perak ke Cameron Highlands membuka pengalaman baharu buat sepasang suami isteri mengenai amalan solat Jumaat di kawasan pedalaman.
Keunikan itu dialami Suzilah Zainuddin, 48, dan suaminya, Muhamad Rusydi Mohammad, 39, ketika singgah di Surau Az-Zahra, Kampung Orang Asli Kerawat di Kampung Kabag, Simpang Pulai baru-baru ini.
Menurut Suzilah, suaminya terlebih dahulu memasuki surau berkenaan sebelum memaklumkan kepadanya keadaan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.
“Apabila suami diberitahu bahawa jumlah jemaah solat Jumaat di situ hanya sekitar lapan orang, dia menerimanya seperti biasa.
“Namun apabila dia menceritakan semula perkara itu kepada saya setelah selesai solat, saya agak terkejut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, perbualan mereka selepas solat membuka ruang untuk memahami bahawa terdapat pandangan dalam mazhab lain yang membenarkan solat Jumaat dilaksanakan dengan jumlah jemaah yang lebih kecil berbanding kefahaman yang selama ini diketahuinya menerusi Mazhab Syafie.
“Itu satu ilmu baharu buat saya dan saya bersyukur kerana persinggahan yang tidak dirancang akhirnya membuka ruang untuk mempelajari sesuatu yang sebelum ini tidak pernah saya ketahui.
“Saya juga mula melihat bahawa di sebalik sebuah surau kecil di kawasan pedalaman, sebenarnya terdapat usaha dakwah dan bimbingan yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat luar,” katanya.
Suzilah yang juga perunding takaful berkata, pengalaman tersebut membuatkan beliau lebih memahami pentingnya pendekatan dakwah yang mengambil kira keadaan serta keperluan sesebuah komuniti.
“Jika matlamat akhirnya adalah untuk membimbing dan membiasakan saudara-saudara kita dengan solat Jumaat serta kehidupan beragama, saya melihat pendekatan yang beransur-ansur dan bersesuaian dengan keadaan komuniti itu sangat bermakna.
“Ia juga membuatkan saya terfikir bahawa mungkin masih banyak lagi usaha dakwah di kawasan pedalaman yang kita tidak ketahui dan tidak pernah lihat,” ujarnya.
Mengimbas bagaimana mereka menemui surau berkenaan, Suzilah berkata, suaminya menggunakan aplikasi Google Maps untuk mencari surau atau masjid berhampiran, namun kebanyakan lokasi yang dicadangkan memerlukan mereka berpatah balik atau membuat pusingan U.
Menurutnya, mereka kemudian meneruskan perjalanan sebelum ternampak sebuah bangunan berpagar hijau di tepi jalan di Kampung Kabag.
“Saya menyangka bangunan itu ialah balai raya kerana tidak mempunyai kubah atau ciri-ciri yang lazim terdapat pada masjid.
“Namun selepas melihat papan tanda bertulis ‘Surau’, kami berhenti dan bertanya kepada penduduk setempat sebelum dimaklumkan bahawa bangunan tersebut ialah Surau Az-Zahra Kampung Orang Asli Kerawat,” katanya.
Suzilah berkata, antara perkara yang paling menyentuh hatinya ialah layanan mesra yang diberikan oleh komuniti setempat.
“Pada mulanya kami berasa segan kerana hanya singgah untuk menunaikan solat.
“Namun mereka berkali-kali mengajak kami makan dengan penuh keikhlasan dan kami tidak sampai hati untuk menolak.
“Akhirnya kami duduk dan makan bersama mereka serta berasa seperti berada dalam kalangan keluarga sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Suzilah mengakui tidak menyangka perkongsiannya mengenai pengalaman tersebut di media sosial mendapat perhatian ramai.
Katanya, niat asal hanyalah untuk berkongsi pengalaman menarik yang dilalui bersama keluarganya.
“Jangan merasakan kita sudah cukup mengetahui tentang agama hanya kerana telah lama hidup sebagai seorang Muslim.
“Saya sendiri menganggap memahami perkara-perkara asas agama, namun satu persinggahan yang tidak dirancang ini telah membuka ruang kepada satu ilmu baharu.
“Melihat saudara-saudara kita dalam komuniti Orang Asli yang sedang belajar serta mendalami Islam juga membuatkan saya bermuhasabah tentang diri sendiri,” katanya.