Proklamasi tidak sah, Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Iklan
DKU menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal. Foto: Bernama

KUALA PILAH - Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal.

Setiausaha DKU memaklumkan, ketetapan itu dibuat dalam persidangan khas yang diadakan di Seri Menanti di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Tiada proses yang sah pernah menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan itu.

"Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut. Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah," menurut kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut DKU, proklamasi bertarikh 19 April lalu adalah tidak sah di sisi Perlembagaan apabila tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang menurut adat Luak masing-masing pada tarikh tersebut.

"Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar setelah siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.

Iklan

Dewan itu memaklumkan, pada 20 April lalu, Menteri Besar yang ketika itu memegang jawatan enggan menandatanganinya di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959, atas alasan bahawa syarat Perkara 10 UUTKNS 1959 tidak dipenuhi dan salah seorang yang menandatangani bukan seorang Undang.

"Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal," jelas kenyataan itu.

Tambah DKU, tiada sebarang siasatan diadakan dalam tuntutan memenuhi Perkara 10 UUTKNS 1959.

"Satu-satunya perkara yang didakwa berlaku ialah seorang Menteri Besar yang baharu menandatangani proklamasi yang sama. Perbuatan itu tidak memulihkan apa-apa.

"Seorang Menteri Besar yang baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang telah pun dilaksanakan. Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan," jelasnya.

Menurut DKU, pengumuman media bertarikh 5 dan 8 September 2026 tidak mempunyai apa-apa kesan berikutan ia bersandar sepenuhnya pada proklamasi 19 April yang cacat dan telah luput serta pada surat cara bertarikh 3 Ogos lalu yang tidak menambah apa- apa kepada keabsahan proklamasi tersebut.

Selain itu, Dewan menetapkan apa-apa yang dilakukan atas nama jawatan yang tidak dipegang tidak mempunyai kesan di sisi adat.

"Pada masa ini, Undang Luak Sungei Ujong disandang oleh Dato' Klana Petra Muhammad Faris bin Johari; Undang Luak Rembau, Dato' Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Hail Muhammed Abdullah.

"Jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong adalah kosong," jelas kenyataan itu.

Tambahnya lagi, tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September lalu dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang.

"Ini kerana empat daripada mereka tidak memegang jawatan berkenaan, menandatangani surat cara penurunan Yang di-Pertuan Besar tanpa siasatan menurut Perkara 10(1) UUTKNS 1959, menyalahgunakan gelaran jawatan dan mengeluarkan arahan tidak sah kepada pegawai Kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, DKU memutuskan tiada pegawai kerajaan dikehendaki bertindak atas apa-apa arahan yang berasaskan dokumen tersebut dan hendaklah terus mengiktiraf Duli Yang Maha Mulia sebagai Yang di-Pertuan Besar.

"Setiausaha Dewan hendaklah menyampaikan keputusan Dewan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, supaya Menteri Besar dan Kerajaan Negeri boleh mengambil langkah-langkah yang wajar untuk melaksanakannya.

"Setiausaha Dewan hendaklah membuat Iaporan polis berhubung perbuatan enam individu tersebut. Laporan polis ialah aduan untuk membolehkan siasatan pihak berkuasa," tambahnya.

Berhubung cadangan Jawatankuasa Pendamai di bawah kerajaan negeri, DKU berpandangan tiada kewajaran penubuhannya jika bidang kuasa merangkumi soal adat.

Selain itu, Dewan menyarankan semua pihak tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas mengenai institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang kerana ia bukan milik mana-mana parti atau individu.