SHAH ALAM – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengakui kedudukannya sebagai sebuah parti yang masih kecil dan baharu dalam landskap politik negara, namun percaya saiz bukan penghalang untuk membina kekuatan serta meraih kepercayaan rakyat.
Naib Presiden Wawasan, Datuk Omar Mustapha berkata, parti itu mempunyai kelebihan tersendiri untuk terus bertahan dan berkembang meskipun dilihat sebagai ‘kucing’ berbanding parti-parti besar yang memiliki jentera lebih kukuh serta pengaruh yang luas.
Menurut beliau, walaupun kucing tidak mempunyai kekuatan seekor harimau atau saiz seekor gajah, haiwan itu mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri, mengekalkan keseimbangan serta bangkit semula apabila terjatuh.
“Jika politik negara ini sedang hilang keseimbangan, mungkin yang diperlukan bukan parti yang paling besar, tetapi parti yang tahu bagaimana membetulkan kedudukan, mendarat dengan kedua-dua kaki dan terus berdiri.
“Maka kepada mereka yang menganggap kami di Wawasan sekadar kucing, biar saya jawab. Ya, kami mungkin hanya seekor kucing, tetapi kami berazam dan bertekad untuk menjadi kucing kesayangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, UMNO Kedah mengesahkan pendiriannya untuk memulakan perbincangan awal secara tidak rasmi dengan Pas, namun menolak kerjasama dengan apa yang digelar sebagai “parti kucing”.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana Perikatan Nasional (PN) turut dianggotai beberapa parti kecil yang disifatkannya tidak mempunyai pengaruh politik yang kukuh.
Mengulas perkara itu, Omar berkata, status sebagai parti kecil dan baharu sebenarnya memberi ruang kepada Wawasan untuk bergerak lebih pantas serta menyesuaikan pendekatan mengikut perubahan politik semasa dan kehendak rakyat.
Menurutnya, parti kecil tidak perlu menjadi versi lebih kecil kepada parti besar, sebaliknya perlu membina kekuatan berdasarkan kelebihan tersendiri.
“Parti besar mempunyai jentera, kewangan, sejarah dan ribuan ahli. Parti kecil tidak boleh menang dengan cuba menjadi versi parti besar.
“Sebaliknya, ia perlu menang dengan menjadi lebih pantas, lebih tangkas dan lebih tepat,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa status sebagai parti baharu bukan satu kelemahan kerana ia membolehkan Wawasan belajar daripada pengalaman, memperbaiki kelemahan dan menentukan hala tuju tanpa dibebani dengan legasi lama.
“Apabila keadaan politik berubah, parti kecil boleh mengubah arah dengan lebih cepat.
“Apabila berlaku kesilapan, ia tidak perlu mempertahankan beban puluhan tahun. Ia boleh belajar, membetulkan kedudukan dan bergerak semula,” ujarnya.
Omar berkata, Wawasan mahu membina kepercayaan rakyat secara berperingkat dengan memberi fokus kepada kawasan yang benar-benar memerlukan alternatif politik baharu.
“Dan ada satu lagi pelajaran daripada kucing. Kucing tidak memerlukan ruang yang besar untuk bergerak. Ia mencari ruang yang mungkin tidak disedari orang lain.
“Ia mendengar dengan teliti, bergerak secara senyap dan hanya melompat apabila tiba masa yang tepat,” katanya.