Pemandu lori miliki gambar video lucah bekas kekasih didenda RM2,500

Iklan
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.

MELAKA - Seorang pemandu lori didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki video dan gambar lucah bekas kekasih dalam telefon bimbit miliknya, Mac lalu.

Tertuduh, S Devesh, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki video dan gambar lucah dalam telefon bimbit jenis iPhone 12 miliknya ketika berada di Pejabat Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, sekitar jam 3.30 petang, 26 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, mangsa berusia 29 tahun membuat laporan polis selepas menerima ugutan menerusi gambar miliknya selain kata-kata kesat dan ancaman untuk merosakkan rumah serta mencederakannya.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan merampas telefon bimbit milik tertuduh yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

Iklan

Hasil pemeriksaan serta analisis forensik mendapati terdapat beberapa fail gambar dan video berunsur lucah dalam media storan telefon bimbit berkenaan.

Peguam Nigel Tai Zhe dan L Sharveen yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guam mereka hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain mempunyai masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM2,500 terhadap tertuduh atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.