KUALA LUMPUR - Pendekatan seumpama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan penyelarasan pelbagai agensi secara bersepadu telah dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara.
Antara agensi terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pendekatan seumpama NTF itu akan menghimpunkan agensi bagi menyelaraskan peranan masing-masing dengan lebih baik, khususnya dalam menangani kelemahan keselamatan di sepanjang sempadan darat dan maritim negara.
Menurutnya, ATM sudah mengemukakan cadangan supaya setiap agensi dihimpunkan bagi menjalankan tugas ini menerusi operasi yang lebih bersepadu dan diselaraskan.
“Sebelum ini, agensi masing-masing mungkin beroperasi secara berasingan.
"Kini kami melihat kepada pendekatan bersepadu dan diselaraskan kerana ia lebih berkesan dalam menangani isu ini,” katanya dalam sesi temubual sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan, di sini pada Isnin.
Malek berkata, pendekatan sama pernah digunakan menerusi NTF ketika pandemik Covid-19 yang menurutnya terbukti berkesan dalam menyelaras usaha pelbagai agensi.
Tambahnya, elemen pendekatan itu boleh dikembalikan walaupun tidak semestinya pada skala sama, bagi menangani cabaran keselamatan sempadan ketika ini.
“Kami pernah melakukan perkara ini menerusi NTF ketika pandemik dan kami melihat ia berkesan.
“Atas apa juga sebab, mekanisme itu kemudiannya diubah. Namun, saya percaya elemen pendekatan itu mungkin perlu dikembalikan, walaupun tidak semestinya pada skala besar, bagi menangani masalah ini,” ujarnya.
Jelas Malek, cadangan itu dikemukakan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Operasi Kebangsaan dan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan di peringkat kerajaan.
Mengenai sempadan darat, Malek berkata keadaan di sepanjang jajaran dari Kedah hingga Kelantan berada dalam keadaan terkawal, dengan ATM bertanggungjawab terhadap beberapa bahagian sempadan manakala agensi lain mengendalikan kawasan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Beliau berkata, mereka yang dikesan memasuki negara ini secara haram akan ditahan, walaupun kes sedemikian tidak dilaporkan media setiap hari.
“Kita (ATM) ada buat tangkapan semalam... minggu lalu, tetapi jumlahnya tidak besar. Kebanyakan mereka yang dikesan memasuki negara ini secara haram datang dari sebelah utara.
"Malaysia mempunyai platform kerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia bagi menangani isu keselamatan rentas sempadan," ujarnya.
Kata beliau, ATM tidak berkompromi dalam soal keselamatan sempadan dan akan terus menahan mereka yang dikesan memasuki negara ini melalui kawasan di bawah tanggungjawabnya.
“Bagi kawasan di bawah tanggungjawab ATM, kami menjaganya sepanjang 24 jam. Jika masih berlaku kebocoran, ia disebabkan oleh kelemahan tertentu. Mereka (suspek) juga mempunyai strategi dan ejen masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, keselamatan sempadan memerlukan kerjasama rapat antara pelbagai agensi.
Sebelum ini, NTF yang ditubuhkan khas bagi melaksanakan Op Benteng ketika pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020 dibubarkan secara rasminya pada 31 Disember 2022.