Pelajar perlu berani tolak, tidak subahat rasuah

Iklan
Duduk dari kiri, Ketua Penolong Pengarah Unit Integriti Mara, Mohd Yusoff Hamid, Afizah Zubaidah dan Nurhayati bergambar bersama pelajar dalam Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 di TVETMARA Besut pada Rabu.

KEMAMAN - Pelajar bukan sahaja perlu mengetahui tentang rasuah itu salah tetapi perlu mempunyai keberanian untuk menolak, tidak bersubahat dan mengambil pendirian apabila berdepan dengan salah laku.

Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan dan Hal Ehwal Pelajar TVETMARA Kemaman, Afizah Zubaidah Embong berkata, golongan pelajar perlu diberikan kefahaman jelas mengenai kepentingan integriti kerana mereka merupakan bakal pemimpin serta tenaga kerja yang akan mencorakkan masa depan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha membanteras rasuah wajar bermula di peringkat akar umbi dengan membentuk kesedaran dan keberanian generasi muda untuk menolak sebarang bentuk salah laku sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

"Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 yang dilaksanakan secara bersama antara Rasuah Busters dan Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini mampu membentuk sikap pelajar supaya lebih peka terhadap tanggungjawab menolak rasuah serta berani mengambil pendirian terhadap sebarang bentuk salah laku.

Iklan

“Ini merupakan satu perkara yang sangat penting di peringkat akar umbi kerana mereka inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Kita mahu pelajar memahami bahawa integriti bukan sekadar satu nilai yang dipelajari di dalam kelas, tetapi perlu diamalkan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak," katanya kepada Rasuah Busters selepas Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 di TVETMARA Besut pada Rabu.

Iklan

Afizah Zubaidah

Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 tersebut disertai 1,059 pelajar daripada semester satu hingga enam pelbagai program pengajian.

Jelajah edisi 2026 yang memasuki tahun ketiga itu menyasarkan enam lokasi IPMA di seluruh negara sehingga Oktober depan dengan libat urus mencecah 2,000 pelajar.

Jelajah berkenaan turut disempurnakan dengan program ceramah integriti oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Afizah Zubaidah turut berharap segala ilmu, informasi dan nasihat yang disampaikan menerusi program berkenaan dapat menjadi bekalan kepada para pelajar apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Beliau menyeru agar para pelajar menggunakan pengetahuan yang diperoleh untuk mengenal pasti, mencegah dan menolak amalan rasuah dalam apa jua bentuk apabila berada dalam dunia pekerjaan nanti.

“Harapan saya agar semua pelajar, apabila suatu masa nanti memasuki dunia pekerjaan, dapat menggunakan informasi, nasihat dan panduan yang diberikan untuk mencegah rasuah.

“Semoga mereka menjadi pekerja yang bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing, tetapi juga mempunyai integriti dan keberanian untuk menolak rasuah," katanya.

Beliau berkata, pembudayaan antirasuah perlu bermula lebih awal kerana pembentukan sikap dan prinsip yang kukuh dalam kalangan generasi muda mampu menjadi benteng penting dalam membina sebuah negara yang lebih bersih, amanah dan berintegriti.

Nurhayati (dua, kanan) menyampaikan Waqaf Al-Quran yang disumbangkan Warisan Umnah Ikhlas (WUI) kepada Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan dan Hal Ehwal Pelajar TVETMARA Kemaman.

Sementara itu, Nurhayati berkongsi ketika menyampaikan kesedaran antirasuah kepada pelajar, rasuah tidak semestinya berpunca daripada seseorang yang berpendapatan rendah atau hidup dalam kesusahan sebaliknya ia boleh berlaku apabila seseorang gagal mengawal keperluan, ketamakan dan peluang yang hadir dalam kehidupan.

Ujarnya, seseorang yang tidak pernah melakukan kesalahan juga boleh terjebak apabila berdepan keadaan yang menguji pertimbangan dan ketahanan diri.

Menurut beliau, antara alasan yang boleh membuka ruang kepada perbuatan rasuah ialah keperluan mendesak.

“Kadang-kadang kita kata, ‘Aku tak pernah buat salah ini, tetapi aku ada keperluan. Mak tak sihat, sakit. Jadi kali ini sahaja kita guna alasan pinjam’, tetapi sebenarnya ia boleh menyebabkan berlakunya pecah amanah,.

"Seseorang juga boleh terjerumus dalam rasuah bukan kerana kekurangan wang semata-mata, tetapi disebabkan ketamakan. Kita tengok orang yang ditangkap itu jawatan besar-besar, gaji pun berapa? Mahal. Macam mana boleh buat rasuah?

“Orang yang buat rasuah mungkin kita fikir orang yang gajinya kecil dan keluarganya susah. Tetapi orang yang mempunyai pendapatan tinggi pun tetap boleh melakukannya. Alasan kedua ialah ketamakan,” katanya.

Selain keperluan dan ketamakan, Nurhayati turut menekankan faktor peluang sebagai antara perkara yang boleh mendorong seseorang terlibat dengan rasuah.

Beliau merujuk kepada kajian berkaitan penglibatan pelajar dalam rasuah yang menurutnya menunjukkan wujudnya risiko apabila seseorang berada dalam kedudukan yang menyediakan ruang atau peluang untuk melakukan salah laku.

“Bukan dia memang nak buat. Tetapi apabila keadaan itu berlaku, ketahanan diri ataupun pertimbangan susah untuk diseimbangkan. Susah nak buat pilihan.

“Kita perlu sedar apa yang boleh menyebabkan kita goyah. Kadang-kadang keperluan buat kita goyang. Kadang-kadang ketamakan buat kita goyang. Kadang-kadang peluang menyebabkan kita teruji. Ada ubat tak? Semua ada ubat, katanya,” katanya.

Justeru, Nurhayati menyeru generasi muda supaya membina prinsip integriti sejak dari perkara paling kecil kerana kejujuran tidak terbentuk ketika seseorang sudah memegang jawatan besar tetapi dibina melalui pilihan-pilihan kecil setiap hari.

Ujarnya, perjuangan membanteras rasuah bukan sekadar tentang menangkap dan menghukum pelaku tetapi tentang membina manusia yang mampu berkata tidak apabila berdepan keperluan, ketamakan dan peluang yang menguji integriti.