RAUB – Kembara Jejak Tok Diman buat julung kalinya menghimpunkan lebih 100 waris dua negeri dari Kelantan dan Pahang seterusnya mengeratkan hubungan kekeluargaan dari 12 generasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Program Jejak Tok Diman di Raub, Datin Mariah Mohd Ismail berkata, program itu turut membuka ruang kepada waris yang sebelum ini tidak mengetahui kewujudan keluarga Tok Diman di Pahang untuk saling mengenali.
Menurutnya, ada waris yang pernah bertemu sebelum ini, namun sebahagian lagi baru pertama kali bersua menerusi program berkenaan.
“Program ini memang pertama kali diadakan dan objektif utamanya adalah untuk menyambung silaturahim kerana kami sebenarnya satu keluarga.
“Tok Diman mempunyai hubungan keluarga di Kelantan, khususnya di Kampung Chetok, Pasir Mas manakala selepas berhijrah ke Raub, dan mempunyai keluarga di negeri Pahang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas program Kembara Jejak Tok Diman di Kampung Durian Sebatang, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Persatuan Sutan Amir Kaharuddin Budiman (SAKB).
Majlis di Raub dirasmikan oleh Penasihat SAKB Pahang, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid.
Mariah berkata, berdasarkan salasilah keluarga, Tok Diman atau nama sebenarnya Sutan Amir Kaharuddin Budiman mempunyai seorang anak lelaki, Tok Jalaluddin, hasil perkahwinannya di Kelantan, selain empat anak perempuan selepas berhijrah ke Raub, iaitu Siti Zaleha, Siti Hajar, Alimah dan Siti Hadijah.
Katanya, hubungan kekeluargaan antara waris Kelantan dan Pahang perlu terus diperkukuh supaya generasi muda mengetahui asal-usul serta kedudukan mereka dalam salasilah keluarga.
“Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa Tok Diman mempunyai keluarga di Raub.
“Melalui program ini, kami dapat mengenali semula antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan kekeluargaan di dua negeri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Tapak Warisan Tok Diman di Kampung Durian Sebatang diwujudkan sebagai tanda ingatan kepada tokoh berkenaan selain menjadi lokasi pengumpulan waris dan penganjuran aktiviti kekeluargaan pada masa akan datang.
Katanya, tapak berkenaan terletak berhampiran rumah waris, Tengku Baharuddin Tengku Kamaruzaman, yang menjadi lokasi tahlil, doa selamat, ramah mesra dan jamuan selepas perasmian tapak warisan itu.
“Tapak ini kedua selepas yang pertama di Kelantan dan menjadi tempat untuk mengingati Tok Diman serta lambang kasih sayang keluarga.
“Kami harap ia dapat terus dimanfaatkan oleh waris pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, salasilah keluarga yang dipamerkan di tapak warisan itu juga penting bagi membantu generasi muda mengenal pasti susur galur mereka termasuk daripada keturunan cucu Tok Diman.
“Sekurang-kurangnya generasi muda akan mengetahui mereka berasal daripada waris yang mana.
“Ini dapat menguatkan jati diri dan membantu mereka memahami asal-usul keluarga,” katanya.
Mariah yang merupakan waris generasi ketujuh berkata, sebahagian besar waris Tok Diman di Pahang kini menetap di sekitar Raub, selain mempunyai hubungan kekeluargaan di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain.
Program Kembara Jejak Tok Diman turut merangkumi ziarah tanah perkuburan Kampung Durian Sebatang, perasmian Tapak Warisan Tok Diman, tahlil dan doa selamat serta pertemuan keluarga.
Sebelum itu, waris dari Kelantan mengadakan program di Kampung Chetok, Pasir Mas, termasuk perasmian tapak warisan di kawasan berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Raub, Pahang.