Iran belum tumbang, AS mula bayar harga perang

Iklan
Iran mungkin tidak mampu menewaskan AS tetapi masih cukup berkemampuan untuk menghalang Washington daripada mendakwa kemenangan mudah.

ENAM bulan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap Iran, konflik yang pada awalnya dijangka berlangsung singkat kini berubah menjadi perlumbaan ketenteraan dan pertahanan yang semakin mahal.

Iran belum menyerah kalah, Selat Hormuz masih terganggu dan ancaman terhadap aliran tenaga dunia kini merebak ke Bab el-Mandeb susulan kemaraan Houthi di Yemen.

Iklan
Iklan

Persoalannya semakin besar: jika kekuatan ketenteraan tidak mampu memaksa Teheran tunduk selepas enam bulan, bagaimana Washington mahu menamatkan perang ini?

Serangan AS dan Israel menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur ketenteraan dan nuklear Iran, tetapi gagal menghasilkan kemenangan mutlak.

Iklan

Selat Hormuz sebelum ini menjadi simbol utama kebuntuan perang, namun perkembangan terbaharu menunjukkan ancaman terhadap bekalan tenaga tidak lagi tertumpu di situ.

Houthi yang disokong Iran kini mara di sekitar Bab el-Mandeb, pintu masuk selatan Laut Merah yang menjadi laluan penting perdagangan antara Asia dan Eropah.

Iklan

Arab Saudi pula terpaksa menghentikan saluran paip minyak Timur-Barat selepas kemudahan itu menjadi sasaran beberapa serangan.

Saluran tersebut penting kerana membolehkan Riyadh menghantar minyak ke Laut Merah tanpa melalui Hormuz. Jika Hormuz terus terganggu dan Bab el-Mandeb turut terancam, pilihan untuk memintas kawasan konflik menjadi semakin sempit ketika harga minyak kembali melepasi AS$100 setong.

Ekonomi global setakat ini menunjukkan ketahanan lebih baik berbanding jangkaan awal. Namun, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan global hanya 3 peratus tahun ini.

Bagi Presiden Donald Trump, tekanan turut meningkat di dalam negara. Tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan kadar kelulusannya berada pada 33 peratus, manakala sokongan rakyat AS terhadap tindakan ketenteraan di Iran merosot kepada 31 peratus.

Menjelang pilihan raya pertengahan penggal November, perang berpanjangan dan kenaikan harga bahan api boleh menjadi beban politik kepada Republikan.

Washington turut membayar harga ketenteraan dengan sekurang-kurangnya 18 anggota tenteranya terbunuh dan lebih 750 cedera sejak konflik bermula.

Iran pula berdepan tekanan ekonomi berat akibat perang dan sekatan. Harga makanan dilaporkan melonjak sekitar 128 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun tekanan itu masih belum menyebabkan kerajaan tumbang.

Persoalan nuklear juga belum selesai. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) masih berdepan kekangan untuk mengesahkan sepenuhnya kedudukan bahan nuklear Iran.

Pada 9 September, Lembaga Gabenor IAEA merujuk Iran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menunjukkan serangan ketenteraan tidak menyelesaikan kebimbangan terhadap program nuklear Teheran.

Enam bulan kemudian, perang tersebut kini menjadi pertandingan siapa mampu bertahan lebih lama.

Iran mungkin tidak mampu menewaskan AS secara konvensional, tetapi masih cukup berkemampuan untuk menghalang Washington daripada mendakwa kemenangan mudah.

AS pula masih mempunyai kekuatan untuk meneruskan serangan, namun setiap bulan yang berlalu meningkatkan kos politik, ekonomi dan ketenteraannya.

Washington mungkin telah memusnahkan banyak sasaran Iran, tetapi sehingga kini masih belum menemukan perkara paling penting dalam peperangan ini — jalan keluar.

*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah wartawan meja global