KEHIDUPAN tidak selalunya berjalan mengikut kehendak, justeru setiap individu perlu membina ketahanan mental bagi menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan kekecewaan yang tidak dapat dielakkan.
Istilah generasi strawberi sering dikaitkan dengan golongan muda yang dianggap mudah rapuh apabila berdepan teguran atau kesukaran membuka ruang untuk masyarakat membincangkan kepentingan membentuk daya tahan diri dalam kalangan generasi baharu.
Dalam kehidupan sebenar, kejayaan bukan hanya bergantung kepada ilmu dan kemahiran, malah turut memerlukan kesungguhan untuk bangkit selepas kegagalan serta keberanian menghadapi keadaan yang tidak menyenangkan.
Keupayaan menerima teguran secara terbuka juga penting kerana kritikan yang membina boleh membantu seseorang mengenal pasti kelemahan, memperbaiki kesilapan dan meningkatkan keupayaan diri.
Namun, ketahanan mental bukan bermaksud seseorang perlu memendam perasaan atau menerima setiap teguran tanpa berfikir, sebaliknya kebijaksanaan menilai kritikan dan mengurus emosi secara matang menjadi sebahagian daripada proses pendewasaan.
Dalam hal ini, ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat mempunyai peranan membimbing golongan muda supaya mampu berdikari, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan ketika berhadapan situasi sukar.
Pada masa sama, golongan muda perlu diberi ruang untuk belajar daripada kesilapan tanpa terlalu bergantung kepada orang lain bagi menyelesaikan setiap kesukaran yang dihadapi.
Persekitaran yang menggalakkan disiplin, tanggungjawab dan usaha berterusan dapat membantu membentuk individu yang bukan sahaja berpengetahuan, malah lebih bersedia menghadapi tuntutan kehidupan sebenar.
Keperluan membina ketahanan diri itu juga penting pada peringkat negara kerana generasi muda yang mampu menyesuaikan diri, berfikir secara rasional dan menghadapi cabaran dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih berdaya saing.
Generasi muda tidak perlu menjadi keras sehingga mengabaikan emosi, tetapi perlu membina kekuatan diri agar tidak mudah menyerah apabila berdepan kesukaran kerana kehidupan menuntut keupayaan untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan bangkit semula.