SUDAH tiba masanya kejayaan anak muda tidak lagi diukur berdasarkan satu persoalan mudah, “Masuk universiti atau tidak?” Dalam realiti pendidikan dan pasaran kerja hari ini, laluan menuju kejayaan semakin pelbagai sama ada melalui akademik, kemahiran teknikal, pengalaman praktikal mahupun keusahawanan.
Persoalannya, mengapa universiti masih dianggap sebagai satu-satunya tiket memiliki masa depan baik? Sedangkan industri kini memerlukan tenaga kerja bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi juga kompeten, mampu menyelesaikan masalah dan menguasai kemahiran relevan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa universiti bukan satu-satunya tempat untuk melahirkan bakat dan mencapai kejayaan.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk politeknik dan kolej komuniti perlu dilihat sebagai laluan penting membangunkan tenaga kerja berkemahiran negara, bukannya pilihan kedua bagi mereka yang gagal memasuki universiti.
Perubahan persepsi itu semakin ketara apabila permohonan memasuki politeknik mencapai 132 peratus berbanding sekitar 60 hingga 70 peratus sebelum ini. Malah, seramai 447 pelajar aliran sastera kini mengikuti program diploma kejuruteraan di politeknik, membuktikan latar belakang persekolahan bukan penghalang untuk menceburi bidang teknikal.
Dari sudut kebolehpasaran, Laporan Kadar Bekerja Graduan TVET 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menunjukkan 95.9 peratus graduan yang terangkum dalam kajian telah bekerja. Kadar bagi graduan diploma lanjutan mencapai 99.1 peratus, diploma 95.9 peratus dan sijil 95.4 peratus.
Malaysia juga memerlukan sekitar 60,000 jurutera. Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Azmir Mohd Yunus mengatakan sebanyak 1,188,479 peluang kemasukan baharu TVET diperlukan bagi tempoh 2027 hingga 2031 manakala institusi TVET kini mampu menempatkan kira-kira 450,000 pelajar pada satu-satu masa. Sasaran penyertaan turut dinaikkan kepada 70 peratus menjelang 2030.
Bagaimanapun, kejayaan bukan sekadar tentang mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Zambry menekankan kepentingan konsep graduate value, bukan sekadar graduate employability bagi memastikan graduan memiliki kompetensi untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran serta menikmati perkembangan kerjaya yang lebih baik.
Namun, bagaimana pula dengan anak muda yang tidak mendapat tempat di universiti atau tidak mengikuti pengajian TVET? Adakah masa depan mereka turut tertutup?
Jawapannya tidak. Anak muda yang tidak menyambung pengajian ke mana-mana institusi masih boleh membina kehidupan melalui pengalaman bekerja, keusahawanan, latihan tidak formal atau kemahiran yang dipelajari secara kendiri.
Pada pandangan penulis, masyarakat perlu mengubah cara menilai kejayaan anak muda. Tidak memasuki universiti atau TVET tidak bermakna seseorang itu gagal, sebagaimana memiliki kelayakan akademik juga tidak secara automatik menjamin kejayaan.
Kemahuan untuk berusaha, kesediaan mempelajari kemahiran baharu dan keberanian merebut peluang merupakan antara faktor penting dalam membina masa depan.
Walaupun sokongan keluarga, keadaan ekonomi dan peluang pekerjaan turut memainkan peranan, kegagalan memasuki institusi pendidikan tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran impian.
Hakikatnya setiap individu mempunyai potensi dan perjalanan tersendiri. Ada yang menyerlah dalam akademik, ada yang mahir dalam bidang teknikal, manakala sebahagian lagi membina kejayaan melalui pengalaman kerja atau perniagaan sendiri.
Akhirnya, kejayaan bukan ditentukan semata-mata oleh tempat seseorang menyambung pengajian, tetapi bagaimana mereka memanfaatkan peluang, membina kemahiran dan berusaha memperbaiki kehidupan.
Bagi penulis, tidak memasuki universiti atau TVET bukan noktah kepada masa depan. Selagi mempunyai kemahuan untuk berusaha, kesediaan belajar dan kesungguhan mencari peluang, anak muda masih mampu membuktikan kebolehan serta membina kejayaan dengan cara tersendiri.
*Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Pencipta Kandungan Sinar Varsity