SEREMBAN - Peranan air tangan orang lama terutama dalam penyediaan masakan tradisi masih mendapat tempat terutama ketika majlis keramaian dan perkahwinan.
Khidmat mereka bukan sekadar memasak tetapi memastikan penyediaan segala lauk-pauk untuk dihidangkan kepada tetamu berjalan lancar.
Roslin Saharan, 53, dari Kampung Geduhom, Kuala Pilah, antara individu aktif mengetuai penyediaan makanan untuk pelbagai majlis di kampung berkenaan.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti rewang bermula selepas beliau sering mengikut arwah bapanya sejak berusia seawal 20-an.
"Arwah ayah boleh dikatakan ketua rewang di kampung. Jadi, saya suka ikut dia kerana minat dalam masakan.
"Dari situ saya belajar sedikit demi sedikit cara menyediakan bahan dan resipi masakan tertentu," katanya yang merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Rosli mengakui bukan mudah untuk memasak dalam kuantiti banyak, namun pengalaman selama puluhan tahun membantunya membuat anggaran jumlah bahan mengikut bilangan tetamu.
Ujanya, antara menu yang menjadi permintaan utama untuk dimasak ialah kari kambing dihidangkan bersama nasi minyak.
"Contohnya, kalau masak untuk 300 orang, saya sudah boleh agak berapa banyak bahan yang diperlukan, tetapi biasanya kita akan masak lebih.
"Ketua rewang bukan bermaksud saya memasak seorang diri, tapi saya akan bahagikan tugas dan memberikan arahan mengenai cara memasak supaya makanan yang disediakan menepati cita rasa," katanya.
Sementara itu, Hashim Hasan, 69, yang turut berpengalaman sebagai ketua rewang di kampungnya di Kuala Pilah memberitahu, dia mula memasak untuk kenduri kahwin sejak tahun 1980-an dengan belajar daripada orang lama serta mereka yang berpengalaman.
Ujarnya, persediaan awal amat penting terutama apabila melibatkan jumlah tetamu yang ramai.
"Biasanya sebelum majlis, saya akan berbincang dengan tuan rumah untuk menentukan menu dan bahan diperlukan. Manakala untuk program anjuran kampung, saya akan berbincang dengan rakan-rakan.
"Kalau kenduri dulu-dulu, seronok apabila kita masak ramai-ramai. Tetapi sekarang ini orang dah jarang rewang, ramai pilih perkhidmatan katering," katanya.
Hashim berkata, memasak untuk ratusan orang bukan perkara mudah kerana jumlah bahan masakan perlu disediakan dalam kuantiti yang mencukupi.
"Semua itu berdasarkan pengalaman. Yang penting, kita memasak dengan ikhlas. Bila kita masak dengan ikhlas, insya-ALLAH makanan yang disediakan sedap dan tidak mudah rosak," ujarnya lagi.
Aslam Nawabdin, 60, dari Kampung Dusun Nyior pula berkata, bajet dan jumlah tetamu memainkan peranan penting dalam menentukan menu.
Menurutnya, walaupun menu ditentukan tuan rumah, namun ada kala dia akan memberikan cadangan mengikut majlis.
"Biasanya saya akan senaraikan barang- barang yang perlu dibeli dan tengok tuan rumah sama ada mereka nak beli sendiri atau minta saya belikan.
"Tetapi konsep rewang ini dah jarang orang buat, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi di kampung masih ada," katanya.
Sepanjang pengalamannya dalam bidang masakan, Aslam pernah memasak untuk seramai 12,000 orang bagi program anjuran kerajaan peringkat kebangsaan kira-kira 10 tahun lalu.
"Nak masak untuk kuantiti yang banyak ini bukan mudah dan paling kita risau kalau tiba-tiba masakan rosak.
"Cabarannya soal penjagaan bahan-bahan mentah terutama ayam kerana ia sensitif dan disebabkan itu, tugas ketua rewang ini penting," ujarnya.