SHAH ALAM - Menikmati makanan semeja dan hubungan terjalin di tempat kerja menjadi antara ‘magis’ kehidupan harian yang menyatukan rakyat di negara ini tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.
Peniaga rojak, Kesavan Chandra Dass, 55, berkata, semangat perpaduan di premis makanannya terserlah apabila pelanggan Melayu, Cina, India dan Sikh boleh duduk bersama serta beramah mesra ketika menjamu selera.
“Kalau meja tak cukup, kemudian contohnya ada keluarga Cina baru sampai, saya nampak ada keluarga Melayu dan India sudi berikan tempat.
“Memang semangat perpaduan itu kuat, terus tenggelam isu perkauman yang sering dimomok-momokkan," katanya.
Sementara itu, kontraktor pembinaan, Sean Yap, 46, berkata, kedai makan terutama restoran mamak menjadi ruang penting untuk masyarakat bergaul dan mengenali antara satu sama lain.
Menurutnya, nasi kandar adalah menu kegemaran kerana menepati cita rasa rakyat Malaysia selain suasana meriah di restoran mamak membolehkan pelanggan berbeza kaum duduk bersama.
Sean mengakui pengalaman dalam dunia perniagaan turut membuktikan kepelbagaian kaum memberi satu kelebihan apabila hubungan baik dengan masyarakat membuka lebih banyak ruang kerjasama.
Tentera kongsi makan sekawah
Makan satu kawah, tidur berdekatan dan saling menjaga ketika bertugas di hutan tanpa mempersoalkan status kaum menjadi antara kenangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Nagarajoo Veloo, 67, ketika mengenang semangat perpaduan lebih empat dekad lalu.
“Ketika itu, anggota Melayu, Cina dan India berkongsi susah senang.
“Hubungan antara anggota begitu rapat sehingga kami saling menjaga seperti adik-beradik terutama ketika bertugas dalam keadaan mencabar.
“Dulu semua makan satu kawah. Apa-apa jadi, saya sakit dalam hutan ke, mereka akan tolong termasuk ahli keluarga ditinggalkan di rumah,” katanya yang kini berniaga air kelapa di sekitar LTAT, Bukit Jalil.
Bagaimanapun, Nagarajoo yang menyertai tentera pada 1981 kesal apabila masyarakat hari ini dilihat semakin mudah dipengaruhi isu perkauman terutama di media sosial.
“Kita duduk di sini banyak untung, semua kita ada. Malaysia ini syurga bumi. Betul, jangan tak percaya cakap saya. Memang bagus Malaysia ini, paling bagus dalam dunia,” katanya.
Selain mengenang semangat setia kawan ketika berkhidmat, Nagarajoo turut berharap jasa dan pengorbanan bekas perajurit negara terus dihargai dengan memastikan kebajikan mereka diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, sokongan kepada golongan veteran perlu disalurkan untuk meneruskan kehidupan selepas bersara termasuk peluang mencari rezeki bagi menampung keperluan diri dan keluarga.
Toleransi raya di tempat kerja
Bagi eksekutif khidmat pelanggan, Shawal Lyana, 34, kepelbagaian kaum dan agama di pejabat menjadi peluang mengenali budaya serta memahami perbezaan yang akhirnya mendekatkan hubungan sesama rakan sekerja.
“Kita menyambut setiap perayaan antaranya Deepavali, Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina serta rakan dari Sabah dan Sarawak.
“Dari situ, kita faham budaya mereka dan belajar menghormati, sekali gus melenyapkan pertelingkahan dan mewujudkan persefahaman,” katanya.
Pekerja penghantaran, Faris Hanif, 28, senada mengenai perspektif perpaduan di tempat kerja iaitu apabila saling menggantikan tugas setibanya musim perayaan masing-masing.
Malah katanya, pakaian dan makanan tradisional yang dibawakan ketika jamuan perayaan di pejabat turut menghidupkan suasana dan kemeriahan warna-warni identiti Malaysia.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, kita hidup sama-sama. Buat apa kita nak asyik mainkan sentimen perkauman sepanjang masa,” ujarnya.
Hapuskan naratif kaum
Bagi pekerja sektor peruncitan, Nur Amanina Mohd Nazar, 29, hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum perlu dipertahankan terutama golongan belia.
Menurutnya, sikap saling menghormati perlu diutamakan dalam membina masyarakat lebih harmoni, selain menolak sebarang bentuk sentimen yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Saya rasa kita perlu hapuskan sama sekali naratif perkauman ini, jangan dibiarkan membarah,” katanya.
Sementara itu, pekerja sektor jualan, Lee Shaw Woei, 42, memberitahu, usaha memperkukuh perpaduan sewajarnya menumpukan generasi baharu yang kini sebati dengan penggunaan media sosial.
Katanya, platform digital seharusnya dimanfaatkan untuk memperkenalkan budaya dan menggalakkan interaksi positif antara kaum, bukannya ruang menyebarkan sentimen mencetuskan perpecahan.