GEORGE TOWN – Lebih empat dekad, nama Syed Akir Syed Ahmad bukan lagi asing dalam kalangan pelanggan di Medan Selera Flat Kampung Melayu, Air Itam.
Pada usia 73 tahun, Syed Akir masih setia mengusahakan gerai minuman SS Tarbuih yang menjadi legasi perniagaan keluarga dimulakan bapanya, Syed Ahmad Tuan Ngah sejak 1976.
“Dulu saya kerja sebagai pegawai kewangan di sebuah bank di Kampung Baru tetapi berhenti pada 1980 untuk meneruskan perniagaan ayah.
“Ayah saya berniaga minuman untuk menyara keluarga, begitu juga saya. Saya membesarkan anak-anak dengan jualan minuman ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, dia dan arwah isteri, Suria Samad membesarkan empat anak iaitu Sharifah Sueinan, 46; Sharifah Sheezan, 44; Syed Ariezam, 42, dan Sharifah Shazrin, 36, daripada hasil perniagaan air.
Ujar Syed Akir, ada pelanggan yang sanggup datang dari Bayan Lepas dan Bayan Baru.
“Walaupun kita berniaga sudah lama, pelanggan masih datang. Ada yang sudah kenal saya sejak dahulu dan sekarang anak- anak mereka pula datang beli.
“Itulah yang membuatkan saya terus berniaga. Bila pelanggan masih sokong, kita rasa dihargai,” katanya.
Syed Akir berbangga apabila gerai tersebut seakan-akan menjadi saksi hidup hubungan penduduk berbilang kaum, usia dan latar belakang.
Genap 50 tahun gerai diusahakan bapanya itu, meja minum bukan sahaja menjadi tempat pelanggan menikmati hidangan tetapi ruang pertemuan pelbagai generasi pelanggan.
"Kami boleh bersama satu meja, bertukar cerita dan bergurau. Walaupun mereka datang ke sini untuk menikmati minuman, namun hubungan itu terjalin hanya kerana gerai saya ini.
"Itulah muhibah yang terbina sejak dahulu lagi. Gerai saya memang menjadi tumpuan, bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga," katanya.
Kini, perniagaan keluarga itu turut memasuki generasi kedua apabila anak keduanya mengusahakan gerai burger secara bersebelahan manakala anak sulung menjual makanan ala Barat.
"Saya kekal dengan jualan air. Saya mahu meneruskan perniagaan ini selagi masih berdaya kerana menganggapnya sebagai satu amanah dan legasi keluarga,” ujarnya.