LIMA tahun lalu, seorang sahabat Merak Jalanan gembira apabila dapat membeli sebuah rumah teres selepas berbelas-belas tahun tinggal di apartmen. Tak perlu lagi pening kepala turun naik lif. Balik rumah boleh terus letak kereta di depan rumah sendiri.
Tapi baru-baru ini lain pula ceritanya. Dia berdepan masalah jiran 'tak faham bahasa' sering meletakkan kereta di depan pagar rumahnya. Sampaikan nak keluar atau masuk kereta sendiri ke parkir rumah pun jadi rumit. Terpaksa mencari tuan kereta macam mencari orang hilang.
Situasi sebegini bukanlah baharu. Di media sosial pun Merak Jalanan kerap terbaca cerita-cerita dan rungutan tentang perangai jiran meletakkan kereta di depan rumah orang.
Sekali-sekala masih boleh bertolak ansur, mungkin ada rakan-rakan atau saudara-mara datang beraya dan ruang parkir rumah tidak cukup. Tetapi masalahnya perkara sama berulang setiap hari. Parkir, tinggalkan kereta dan masuk rumah. Esok ulang perkara sama.
Ini bukan soal hak ke atas kawasan tetapi soal timbang rasa dan common sense. Kalau sudah sampai menghalang laluan keluar masuk rumah orang, sudah tentu ia menimbulkan rasa kurang senang dan tak selesa.
Bagi Merak Jalanan, jika benar-benar memerlukan untuk menumpang parkir di depan rumah orang, apalah salahnya minta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah. Kebanyakan tuan rumah pun tidak akan marah kalau diminta secara baik.
Merak Jalanan percaya, ramai antara kita mahu tinggal dalam suasana kejiranan yang harmoni. Ketika adik-beradik dan keluarga tinggal jauh, jiranlah yang boleh diharapkan untuk membantu dalam apa jua keadaan.
Jangan disebabkan sebuah kereta, hubungan antara jiran tetangga menjadi keruh.