SEREMBAN - Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Miri Sarawak dianggap rakan sekolahnya sebagai seorang yang suka membantu orang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas helikopter: Jenazah Kapten Zainol Afiq tiba di Masjid Bandar Baru Senawang
Jenazah Dr Ainul Baraah selamat dikebumikan
Dr Muhammad Fauzan Baharum, 31, berkata, bapa kepada dua anak itu akan cuba membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
"Dia seorang yang peramah dan senang yang suka menolong orang. Sesiapa yang minta tolong, dia akan cuba bantu," katanya ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang di sini pada Ahad.
Menurutnya, dia sememangnya berasa tidak sedap hati apabila terbaca mengenai berita pesawat terhempas di Miri pada Selalsa lalu, seklai gus berharap insiden berkenaan tidak melibatkan Zainol Afiq.
Bagaimanapun ujarnya, sebaik mengetahui salah seorang mangsa adalah rakan sekolahnya, dia mengakui tidak dapat menahan sedih.
"Bila tahu ada helikopter terhempas itu saya dah tak sedap hati dan berdoa supaya bukan kawan saya.
"Tapi esoknya disahkan dalam kumpulan WhatsApp sekolah bahawa salah seorang mangsa adalah Zainol Afiq. Saya menangis kerana sedih," katanya.
Selain itu ujarnya, meskipun sudah mempunyai kerjaya masing-masing, mereka akan bertemu apabila pulang ke rumah keluarga di Senawang di sini.
Ujarnya, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham adalah pada tahun lalu ketika menghadiri perlawanan bola sepak dianjurkan oleh bekas pelajar sekolah mereka.
"Saya tinggal di Putrajaya, tetapi kalau kebetulan sama-sama balik ke Senawang, kami akan keluar lepak.
"Arwah ini memang sikap dia dari dulu baik orangnya. Memang tak pernah berubah pun," katanya.
Tambahnya, Allahyarham juga sememangnya seorang pelajar yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi.
Sementara itu, Hashim Mohd Harun,58, yang juga bapa saudara kepada isteri Allahyarham menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.
"Dia anak saudara yang baik dan bertanggungjawab. Komitmen dia sangat tinggi dan bertanggungjawab kepada keluarga.
"Dia juga tidak bezakan kami keluarga sebelah isteri dan keluarganya sendiri," katanya.
Beliau turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kerana dia merupakan ikon kepada keluarga.
Ini kerana kata Hashim, lelaki itu berjaya membina kerjaya dalam usia muda dan menjadi idola kepada semua orang.