PRN Melaka: Farzana pegang pesanan PM fokus isu tempatan

Iklan
Farzana Hayani Foto: Bernama

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir memegang erat pesanan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sentiasa mendahulukan penyelesaian isu tempatan dalam mendepani fasa akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang mesra dikenali Nana berkata, nasihat itu menjadi panduannya untuk mendekati pengundi dan merungkai permasalahan rakyat yang sekian lama tertangguh di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Farzana juga mengambil etika kerja dan kecekalan Perdana Menteri sebagai pendorong untuknya memperhebat gerak kerja dalam tempoh kempen yang berbaki empat hari lagi.

"Saya mencontohi gerak kerja beliau yang berusia hampir 80 tahun tapi kekal aktif, malah lebih aktif daripada saya.

Iklan

"Beliau mempunyai program lebih banyak daripada saya setiap hari dan saya mencontohi semangat serta tekad beliau untuk terus membantu rakyat,” katanya.

Farzana berkata demikian selepas program ceramah kelompok kempen PRN Melaka ke-16 di Bilik Gerakan Utama PH DUN Kelebang di sini malam tadi.

Iklan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu berkata, menyusun jadual lebih padat untuk bertemu seramai mungkin masyarakat setempat, dengan kempennya telah meliputi kira-kira 80 peratus pengundi di DUN itu.

"Saya terus bergerak dengan jadual lebih padat dan lebih banyak program seperti ziarah kasih dan jelajah mesra. Kita fokus bertemu seramai mungkin pengundi dan insya-Allah akan terus bergerak agresif sehingga hari terakhir kempen,” ujarnya.

​Bagi menambat hati pengundi muda, Farzana berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan termasuk penganjuran aktiviti sukan, kebajikan serta kejohanan e-sukan seperti Mobile Legends.

Selain itu, platform media sosial dan kempen digital juga dimanfaatkan bagi memujuk anak muda, khususnya di perantauan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal hari ini. - Bernama