JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya tidak menuruti desakan UMNO yang mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana baki penggal pentadbiran kerajaan masih berbaki sehingga penghujung 2027 dan masih banyak agenda rakyat khususnya berkaitan ekonomi serta kesejahteraan yang perlu diberikan keutamaan.
“Bagi Amanah, kita kekal dengan pendirian untuk menamatkan penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan ini menjadi tempoh penting untuk kerajaan selesaikan isu-isu utama rakyat.
"Jadi, saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak dengan UMNO yang minta supaya segera mengadakan pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) #Stand4RCITH di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengambil pendirian bahawa adalah lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, iaitu sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.
Semasa Perhimpunan Agong UMNO 2026, Jumaat lalu, beliau sekali lagi mengulangi gesaan tersebut sambil menegaskan bahawa PRU16 merupakan detik penentuan bagi mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mencabar pihak yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk membubarkan parlimen segera.
Katanya, jika UMNO diminta meninggalkan kerajaan, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan iaitu mendapatkan mandat baharu melalui PRU atau mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Mengulas mengenai hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, Mujahid berkata, pembentukan kerjasama sejak tahun 2022 adalah berdasarkan persetujuan bersama dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Kalau ada yang nak pergi, boleh pergi. Anwar juga tidak berniat untuk membuang mana-mana pihak namun tidak menghalang jika ada yang memutuskan untuk keluar sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, Amanah sentiasa bersedia menghadapi PRU16 pada bila-bila masa menerusi pelbagai program dan persiapan yang sedang digerakkan.
"Lama dah kami bersedia tetapi bagi kami sama macam mana yang lain, kami menganggap memenuhi penggal itu adalah lebih utama," ujarnya.