Kapal penumpang hilang di Laut Jawa: Belum ada maklumat rakyat Malaysia terlibat - Wisma Putra

Iklan
Kapal Virgo Transport 8. Foto Vesselfinder

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri masih belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan terdapat rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kapal penumpang Virgo Transport 8 yang dilaporkan hilang di Laut Jawa, Indonesia pada Ahad.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan insiden itu dan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai rasmi penumpang dan maklumat lanjut telah disahkan.

Iklan
Iklan

“Pada peringkat awal ini, kementerian belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tersebut.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat penumpang serta mendapatkan perkembangan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan kapal penumpang Indonesia yang membawa 243 orang hilang selepas terputus hubungan di Laut Jawa ketika cuaca buruk.

Kapal Virgo Transport 8 dilaporkan berlepas dari Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan sebelum hubungan dengan kapal tersebut terputus.

Iklan

Dalam pada itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Indonesia supaya mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia turut digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat hubungan melalui portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan mendapatkan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian pertanyaan am +62 21 522 4947, talian kecemasan selepas waktu pejabat +62 813 8081 3036 atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.

Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan insiden berkenaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan.