KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan peningkatan bayaran interim kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion tidak menamatkan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri yang masih perlu dimuktamadkan.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, parti itu menyambut baik peningkatan bayaran interim berkenaan sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak.
"Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, pendirian itu selaras dengan ketegasan Hajiji merangkap Presiden Gagasan Rakyat dalam memperjuangkan penyelesaian tuntutan berkenaan.
"Pendirian yang dibawa oleh Ketua Menteri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan.
"Tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam berkata, parti itu turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
"Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963.
"Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63," katanya.
Menurutnya, semua perkara berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta kemampuan negeri menentukan dan mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.
"Gagasan Rakyat percaya pendekatan yang dibawa oleh Datuk Seri Hajiji Noor selama ini adalah jelas, tegas mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan untuk menghasilkan penyelesaian yang konkrit.
"Pendekatan ini telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Nizam menegaskan, bagi Gagasan Rakyat, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian dan apa juga yang menjadi hak negeri serta rakyat mesti diperjuangkan secara konsisten.
"Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.
"Pada masa yang sama, Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan," katanya.
Beliau berkata, tuntutan berkenaan adalah bagi mendapatkan hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan.
"Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya.
"Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab," katanya.