KUANTAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap menyuntik peruntukan lebih besar kepada program Rakan Muda kerana 10 gaya hidup yang diterapkan menerusi program berkenaan dilihat berkesan kepada golongan muda.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, program Rakan Muda yang wujud sejak 1994 kini dihidupkan serta diperkasakan semula.
Menurutnya, platform itu juga berupaya memberikan kesedaran kepada golongan muda mengenai perkara yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
“Dalam ucapan tadi saya kongsikan mengenai perkara yang dihadapi oleh anak muda hari ini, antaranya pendidikan, kewangan dan gaya hidup moden yang menuntut mereka diberi kesedaran.
“Kesedaran itu kadang-kadang tidak diperoleh di sekolah sebaliknya melalui penyertaan mereka dalam aktiviti sebegini oleh Rakan Muda itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Fiesta Rakan Muda Pahang 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang di sini pada Ahad.
Festa Rakan Muda Pahang 2026 berjaya menghimpunkan hampir 10,000 peserta berusia 13 hingga 30 tahun sepanjang tiga hari dua malam.
Menurutnya, sebanyak 29 aktiviti dilaksanakan sepanjang program berkenaan.
Fadzli berkata, penglibatan dalam program Rakan Muda turut membantu membentuk golongan muda agar mempunyai sahsiah dan jati diri tinggi.
“Jadi, platform Rakan Muda ini cukup penting, sebab itulah saya hadir juga hari ini nak memastikan saya dapat bersama dengan anak-anak muda ini.
“Yang pertama, berkongsi hasrat Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat menyediakan anak muda yang mempunyai sahsiah baik, berdisiplin, berjati diri tinggi dan yang paling penting, mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati golongan muda agar berwaspada dengan cabaran gaya hidup moden termasuk kecenderungan berbelanja besar semata-mata mengikut trend.
“Contoh bab kopi, harga RM18, RM19 dan mereka ini (sedang) membeli gaya hidup. Bayangkan seminggu dua tiga kali, bukan minum kopi sahaja tetapi ada makanan lain, mungkin berbelanja RM20 hingga RM30 satu malam.
“Padahal itu satu perbelanjaan yang bukan sahaja mahal, malah membawa risiko penyakit seperti diabetes dan budaya lepak lewat malam,” tegasnya.
Menyentuh mengenai pembangunan belia, Fadzli kerajaan negeri telah membelanjakan RM600,000 untuk pelaksanaan Festival Belia Negeri Pahang dan Anugerah Belia Negeri Pahang yang berlangsung selama tiga hari dua malam.
Jelasnya, usaha berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS) serta Majlis Belia Negeri Pahang (MBN).
“Tiada negeri lain yang berbelanja sebesar ini dan kita di Pahang memang mengambil berat tentang masa depan anak muda,” ujarnya.