Operasi Samseng Jalanan: Remaja 16 tahun antara 146 individu ditahan

Iklan
Sebanyak 92 saman dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, manakala 24 saman dikeluarkan JSPT Bukit Aman atas pelbagai kesalahan trafik. Foto Polis Selangor

KLANG - Remaja berumur 16 tahun antara 146 individu yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Operasi Tutup Samseng Jalanan di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini, awal pagi Ahad.

Operasi bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut membawa kepada penyitaan 50 motosikal atas pelbagai kesalahan.

Iklan
Iklan

Polis Selangor dalam kenyataan memaklumkan, seramai 146 individu berusia antara 16 hingga 25 tahun serta 141 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

"Sebanyak 50 buah motosikal turut disita untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Polis Selangor pada Ahad.

Iklan

Antara individu ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi dijalankan pada Ahad. Foto Polis Selangor

Dalam operasi sama, AADK menjalankan 22 pemeriksaan saringan air kencing secara rambang membabitkan 17 lelaki dan lima wanita.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada tangkapan membabitkan individu yang positif dadah.

"Operasi berkenaan disertai lima pegawai kanan polis dan 16 pegawai rendah polis JSPT IPK Selangor, selain 30 anggota JPJ serta lapan anggota AADK dan seorang pegawai," katanya.

Jelas kenyataan itu, seramai 52 pegawai rendah polis daripada bantuan sumber manusia turut digerakkan bagi menjayakan operasi terbabit.

"Operasi itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Edward Kondokor," katanya.

Tambahnya, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan.

"Tindakan ini juga bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya.