SHAH ALAM - Generasi muda mungkin masih memahami dialek negeri datuk dan nenek mereka, namun tidak semuanya mampu atau yakin menuturkannya apabila bahasa Melayu baku dan bahasa Inggeris semakin sebati dalam kehidupan harian.
Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, keadaan itu tidak boleh diterjemahkan kepada angka atau peratusan khusus kerana penguasaan dialek bergantung kepada corak komunikasi setiap keluarga.
Menurutnya, dialek masih digunakan dalam suasana tidak formal di rumah, tetapi generasi muda lebih terdedah kepada bahasa Melayu baku menerusi pendidikan selain pengaruh bahasa Inggeris.
“Orang Melayu tidak lepas dialeknya cuma apabila perkara yang hendak dikatakan untuk mengajar dan sebagainya, bahasa baku selalu digunakan dan menjadi tabiat mencampur dengan bahasa Inggeris.
Nik Safiah berkata, komunikasi antara datuk, nenek dan cucu memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana sesuatu dialek diwarisi.
“Kalau nenek dan atuk banyak bercakap dengan cucu, lebih banyak dialek digunakan berbanding bahasa baku tetapi berbeza kalau nenek menggunakan satu dialek dan atuk menggunakan dialek lain.
“Perbezaan itu menyebabkan cucu lebih cenderung menggunakan bahasa baku standard ketika berkomunikasi,” katanya.
Ujar beliau, pengaruh dialek masih kuat terutama di Pantai Timur apabila generasi muda terus dikelilingi masyarakat yang menuturkannya, manakala negeri Pantai Barat menunjukkan kecenderungan lebih besar kepada bahasa baku.
Menurutnya, penggunaan bahasa oleh ibu juga lazimnya memberi pengaruh besar kerana anak lebih banyak berkomunikasi dengannya dalam kehidupan seharian.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat perubahan itu akan menyebabkan dialek negeri pupus.
“Pada pemerhatian saya, dialek akan kekal. Dialek tidak mempunyai bentuk tulisan, hanya lisan, tetapi ia tidak akan mati walaupun berlaku campuran dengan bahasa baku.
“Dialek itu sifatnya asli kepada sesuatu bahasa. Orang tidak akan meninggalkan bahasa itu, ia mungkin cair dengan pengaruh loghat lain, tetapi tidak akan hilang,” katanya.