KOTA BHARU - Kalau terdengar bunyi ‘demo’, ‘kawe’, ‘gapo’ atau ‘nok gi mano’ di celah-celah perbualan, jangan cepat menyangka semuanya datang daripada orang Melayu.
Di Kelantan, dialek Kelate sudah begitu sebati dengan kehidupan masyarakat sehingga kaum Cina dan India juga mampu ‘kecek Kelate’ dengan bersahaja, malah ada yang kedengaran lebih pekat daripada penutur Melayu sendiri.
Bukan kerana mahu menunjuk pandai berbahasa, tetapi bagi mereka dialek Kelate sudah menjadi bahasa harian ketika bergurau, berbual bersama keluarga mahupun sewaktu bekerja.
Lebih menarik, ada yang menggunakannya di rumah bersama pasangan dan anak-anak, manakala di tempat kerja pula dialek itu menjadi bahasa penghubung ketika berurusan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Keakraban itu berlaku dalam sebuah negeri yang mempunyai kira-kira 1.91 juta penduduk pada 2025.
Daripada kalangan warganegara Kelantan, 96.8 peratus ialah bumiputera, 2.4 peratus Cina dan 0.3 peratus India, berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi Penolong Pengarah (Penerangan) Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), R Hareetaran, 36, walaupun berasal daripada keluarga India yang menggunakan bahasa Tamil, dialek Kelantan menjadi bahasa pertuturan hariannya.
“Saya memang kecek Kelate. Di rumah pun kebanyakan masa saya kecek Kelate dengan adik-beradik.
Hareetaran yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun berkata, isterinya, Shaarada Bairavi, 36, merupakan doktor pergigian yang mengusahakan klinik sendiri dan juga anak Kelantan.
Bagi Pegawai Tugas-Tugas Khas Hubungan Antara Kaum, Lim Guan Seng, 60, atau lebih dikenali sebagai Abe Sin, loghat Kelate sudah sebati dalam dirinya sehingga soal kaum tidak lagi terlintas ketika menggunakannya.
“Bukan sahaja berkomunikasi dengan masyarakat Melayu, malah ketika bercakap dengan masyarakat Cina sendiri, saya turut menggunakan dialek Kelate.
“Kecek samo Cino pun loghat Kelate. Dengan isteri dan anak-anak pun kita kecek Kelate.
“Dah biasa. Bila hidup di Kelantan, kita guna bahasa Kelantan. Tak kira dengan siapa kita bercakap,” ujarnya yang menetap di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab.
Guan Seng mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Yuk Chai sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai.
Katanya, pengalaman sebagai penghulu sebelum ini turut memberi ruang kepadanya bergaul lebih dekat dengan masyarakat dan menggunakan dialek tempatan dalam pelbagai urusan.
Fenomena itu turut mendapat wajah baharu menerusi media sosial. Pempengaruh berbangsa Cina, Wee Yun Nee atau Mek Yun, misalnya dikenali ramai kerana kefasihannya bertutur dalam dialek Kelantan sehingga kandungannya pernah tular.
Mek Yun pernah menjelaskan bahawa sejak kecil dia menggunakan Hokkien bersama keluarga, selain membesar dalam komuniti Melayu, manakala pertuturan di rumah turut bercampur dialek Kelantan, bahasa Melayu, Inggeris dan Siam.
Kedua-dua ibu bapanya berasal dari Kelantan dan ahli keluarganya juga boleh bertutur dalam loghat negeri itu.
Sementara itu, usahawan, Nik Mohd Shahrizal Sudin, 41, melihat kemampuan masyarakat bukan Melayu menguasai loghat Kelate sebagai sesuatu yang sudah biasa dalam kehidupan di negeri berkenaan.
“Di Kelantan, kita kecek Kelate. Bila cakap bahasa Kelate, rasa lebih dekat dengan orang.
“Kadang-kadang bila jumpa orang India atau Cina, mereka kecek Kelate lagi pekat daripada kita,” katanya.