Emas Sukan Asia, BAM sedia pertimbang ganjaran

Iklan
Tengku Zafrul. - FOTO: Bernama.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bersedia mempertimbangkan insentif khas buat pemain negara sekiranya mereka berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan kewangan badan induk berkenaan serta sokongan penaja.

Iklan
Iklan

Beliau mengakui penantian selama dua dekad untuk melihat badminton negara kembali menduduki podium tertinggi Sukan Asia sememangnya terlalu lama, apatah lagi emas terakhir dimenangi beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi Doha 2006.

"20 tahun? Itu kali terakhir menang pingat emas. Saya sendiri tidak sedar, lamanya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM, Bukit Kiara pada Sabtu.

Iklan

Menurut Tengku Zafrul, selain ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kerajaan, BAM akan melihat ruang untuk menyediakan penghargaan tambahan sekiranya sasaran emas itu berjaya direalisasikan.

Katanya, perbincangan bersama penaja turut boleh dilakukan memandangkan kebiasaannya pihak berkenaan mempunyai bentuk insentif tersendiri untuk pemain yang membawa pulang pingat emas.

Iklan

"Kerajaan pasti akan beri. Bagi pihak BAM pula, kita akan tengok kemampuan pada masa itu kerana setakat ini belum ada perbincangan khusus. Tetapi saya fikir ia idea yang baik," katanya.

Tengku Zafrul turut dijadual bertemu pemain negara sebelum rombongan badminton berangkat ke temasya itu Isnin ini, dengan fokus utama memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk memburu kejayaan.

Dalam perkembangan lain, BAM masih belum memuktamadkan pelantikan jurulatih beregu campuran, namun Tengku Zafrul memberi bayangan calon tempatan berkemungkinan besar diberi pertimbangan.

Sementara itu, persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dengan BAM akan terus menilai prestasi pemain sebelum menyenaraikan barisan terbaik.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pemilihan akan dibuat berdasarkan prestasi semasa bagi memastikan Malaysia menghantar pasukan yang paling kompetitif.

"Kita akan pilih pemain terbaik yang ada pada masa itu. Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah menetapkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan," katanya.