Yamashita lakar sejarah, remaja Thailand cipta sensasi

Iklan
Miyu Yamashita mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain golf wanita terbaik dunia apabila muncul pemain pertama berjaya mempertahankan kejuaraan Maybank Championship.

MIYU Yamashita mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain golf wanita terbaik dunia apabila muncul pemain pertama berjaya mempertahankan kejuaraan Maybank Championship selepas menamatkan saingan edisi 2026 dengan catatan 22 bawah par 266 pukulan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Ahad.

Pemain nombor empat dunia dari Jepun itu menutup pusingan akhir dengan empat bawah par 68 pukulan, sekali gus menewaskan pencabar terdekat, Yan Liu dari China dengan kelebihan dua pukulan untuk meraih gelaran kelima sepanjang karier Jelajah LPGA.

Iklan
Iklan

Kemenangan tersebut turut menjadi gelaran ketiga Yamashita musim ini, selain membolehkannya membawa pulang hadiah AS$450,000 (RM1.8 juta) dan muncul pemain Jepun terpantas mencapai lima kemenangan dalam hanya 45 penampilan Jelajah LPGA.

Yamashita yang memulakan hari terakhir dengan kelebihan dua pukulan menghasilkan lima birdie dan satu bogey untuk mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga tamat saingan.

Iklan

Kejayaan itu juga menyaksikan pemain berusia 25 tahun berkenaan mencatat kemenangan mempertahankan gelaran pertama sepanjang kariernya, selain memperbaiki catatan 72 lubangnya pada kejohanan ini sebanyak empat pukulan berbanding tahun lalu.

Marisa Tojai menamatkan saingan di kedudukan ketiga bersama Pauline Roussin-Bouchard dari Perancis dengan 19 bawah par 269 pukulan.

Iklan

Bagaimanapun, kejohanan kali ini turut menyaksikan satu lagi pencapaian luar biasa apabila pemain amatur Thailand, Marisa Tojai, 17, menamatkan saingan di kedudukan ketiga bersama Pauline Roussin-Bouchard dari Perancis dengan 19 bawah par 269 pukulan.

Marisa yang berada di tangga ke-47 selepas pusingan pertama bangkit menghasilkan catatan 65, 65 dan 67 pukulan untuk mencipta rekod pencapaian terbaik pemain amatur dalam sejarah Maybank Championship.

Pencapaian itu mengatasi rekod terdahulu wakil Malaysia, Mirabel Ting yang menamatkan saingan di kedudukan ke-12 pada 2024.

Sementara itu, Liu menamatkan saingan di tempat kedua dengan 20 bawah par 268 pukulan, pencapaian terbaiknya dalam Jelajah LPGA.

Bagi wakil negara, Mirabel muncul pemain Malaysia terbaik di kedudukan ke-48 dengan lima bawah par, diikuti Natasha Andrea Oon di tangga ke-56 dengan dua bawah par dan Liyana Durisic di tempat ke-66 dengan dua atas par.

Kelly Tan pula menamatkan saingan di kedudukan ke-75 dengan enam atas par, manakala Genevieve Ling menghuni tangga ke-76 dengan sembilan atas par.